Tongkat Abdul Hadi berjaya dibida RM16,500 untuk tabung PRN Melaka | The Reporter

Tongkat Abdul Hadi berjaya dibida RM16,500 untuk tabung PRN Melaka

Tongkat kayu kemuning milik Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dibida RM16,500
Gambar: Facebook Suffi Kamari

Sebuah tongkat kayu kemuning milik Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berjaya terjual pada harga RM16,500 menerusi sesi lelongan amal sempena Majlis Makan Malam Amal PAS Melaka di sebuah hotel pada malam Ahad.

Tongkat berkenaan mempunyai ukiran parap ‘TGHH’ yang merujuk kepada Tuan Guru Haji Hadi. Ia pada awalnya ditawarkan pada harga RM2,500 sebelum nilai bidaan meningkat secara berperingkat sehingga mencapai RM16,500.

Lelongan itu diadakan dengan persetujuan Abdul Hadi sebagai antara usaha mengumpul sumbangan untuk tabung parti bagi membantu persiapan jentera PAS menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bidaan tertinggi dimenangi Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, yang kemudiannya menerima tongkat berkenaan daripada Abdul Hadi sendiri.

Baca juga:

Muhamad Muqharabbin merupakan bekas pendaki Gunung Everest yang pernah mencatat sejarah sebagai pendaki termuda dari Asia Tenggara.

Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai dan Exco Pemuda UMNO Malaysia sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, beliau kemudiannya meletakkan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Lembah Pantai sebelum menyertai PAS sebagai ahli biasa pada Jun lalu.

Kira-kira dua bulan lalu, Muhamad Muqharabbin dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Lembah Pantai.

Sumber: Berita Harian, Sinar Harian

Related Posts