'Isu pasang bendera terbalik bukan kesilapan yang boleh ditoleransi' - PPP | The Reporter

‘Isu pasang bendera terbalik bukan kesilapan yang boleh ditoleransi’ – PPP

Datuk Dr Loga Bala Mohan, Presiden PPP Malaysia
Datuk Dr Loga Bala Mohan, Presiden PPP Malaysia. Gambar: Utusan Malaysia

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Malaysia, Datuk Dr Loga Bala Mohan menegaskan, pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor secara terbalik di sebuah kilang di Kulai tidak boleh dianggap sebagai kesilapan yang tidak disengajakan, malah tidak wajar ditoleransi.

Menurut beliau, tiada ruang untuk kecuaian, kelalaian atau kejahilan apabila melibatkan simbol negara seperti Jalur Gemilang, lagu Negaraku, Jata Negara dan Rukun Negara.

Katanya, semua simbol yang mewakili Malaysia merupakan lambang kebanggaan rakyat dan perlu dihormati, disanjung serta diberikan martabat sewajarnya.

“Sebarang tindakan yang tidak menghormati simbol-simbol kedaulatan ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan jangan bertoleransi dengan isu-isu seperti ini,” katanya.

Loga Bala berkata, beliau kesal kerana insiden membabitkan simbol kebangsaan seperti itu masih berulang, selain melihat terdapat pihak yang seolah-olah kurang menghormati lambang negara sama ada kerana kecuaian atau tindakan yang disengajakan.

Hormati simhol kebangsaan sejak di bangku sekolah

Beliau turut mempersoalkan alasan tidak mengetahui atau jahil mengenai kepentingan menghormati simbol kebangsaan, sedangkan perkara tersebut telah diterapkan kepada rakyat sejak di bangku sekolah.

“Setiap minggu pelajar sekolah berhimpun, menyanyikan lagu kebangsaan dan menyaksikan pengibaran Jalur Gemilang. Kita melaluinya sepanjang pendidikan rendah dan menengah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan individu yang sengaja tidak menghormati simbol negara atau mengabaikan prinsip yang menyatukan rakyat Malaysia perlu dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Baca juga:

Loga Bala turut menegaskan insiden membabitkan paparan atau kibaran Jalur Gemilang secara tidak betul dan tidak sopan perlu dihentikan, khususnya ketika bulan kemerdekaan.

“Kita tidak boleh membiarkan setiap insiden berlalu begitu sahaja dengan hanya memberi alasan bahawa ia adalah satu kesilapan. Apabila ia membabitkan maruah dan identiti negara, berhati-hati serta rasa bertanggungjawab yang lebih tinggi mesti diamalkan,” katanya.

Beliau pada masa sama mengingatkan rakyat Malaysia supaya menghargai pengorbanan pejuang terdahulu yang berjuang mencapai kemerdekaan dengan memberikan penghormatan sewajarnya kepada segala simbol yang mewakili negara.

Terdahulu, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) mengambil tindakan menutup sementara sebuah premis selepas mendapati Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor dipasang secara terbalik.

Dalam perkembangan berasingan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) turut mengambil tindakan tegas terhadap sebuah premis perindustrian di Taman Perindustrian SILC, Iskandar Puteri selepas mendapati Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor dipasang secara terbalik.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts