'Ini semua ketentuan Allah, saya tak salahkan sesiapa' - Ismahalil | The Reporter

‘Ini semua ketentuan Allah, saya tak salahkan sesiapa’ – Ismahalil

Ismahalil Hamzah menyampaikan pesanan terakhir dalam video sebelum menjalani hukuman penjara 30 tahun sambil memohon doa daripada anak-anak dan sahabat.
Tangkap layar video yang dikongsikan oleh Ustaz Haji Taufik memaparkan Ismahalil Hamzah bersama ahli keluarganya sebelum menjalani hukuman penjara 30 tahun.

Beberapa jam selepas bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi, tular sebuah video yang dipercayai dirakam sebelum beliau memulakan hukuman berkenaan.

Video yang dikongsikan oleh Ustaz Haji Taufik itu memaparkan Ismahalil menyampaikan ucapan penuh emosi dengan menitipkan pesanan kepada ahli keluarga, sahabat serta orang ramai yang selama ini tidak putus-putus mendoakannya.

Dalam rakaman tersebut, Ismahalil memulakan ucapannya dengan lafaz syukur sebelum menegaskan bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT dan beliau tidak menyalahkan mana-mana pihak atas ujian yang sedang dihadapinya.

Beliau turut meminta isteri dan anaknya agar terus mendoakan dirinya serta mengucapkan penghargaan kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan dan doa sepanjang berdepan proses perbicaraan.

“Ini semua ketentuan Allah. Saya tak ada nak menyalahkan sesiapa. Terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya dalam video berkenaan.

Baca juga:

Ismahalil turut menyifatkan rakaman itu sebagai video terakhir sebelum beliau memulakan ‘kehidupan yang seterusnya’, dipercayai merujuk kepada tempoh hukuman penjara yang bakal dilaluinya.

Mengiringi perkongsian video itu, Ustaz Haji Taufik turut mengajak orang ramai mendoakan agar Ismahalil diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran sepanjang menjalani hukuman. Beliau juga berharap segala urusan Ismahalil dipermudahkan serta memohon agar Allah SWT menzahirkan kebenaran dan memberikan keadilan sekiranya beliau benar-benar tidak bersalah.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah.

Related Posts