Anwar hantar notis tuntutan kepada Tuan Ibrahim, mahu permohonan maaf terbuka | The Reporter

Anwar hantar notis tuntutan kepada Tuan Ibrahim, mahu permohonan maaf terbuka

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kenyataan didakwa berunsur fitnah.
Tuan Ibrahim Tuan Man didakwa mengeluarkan beberapa kenyataan berunsur fitnah terhadap Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung beberapa kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap beliau.

Memetik laporan Harian Metro, peguam yang mewakili Anwar, Datuk SN Nair berkata kenyataan yang didakwa berbaur fitnah itu dibuat di luar Parlimen pada 14 Jun lepas dan telah diterbitkan semula melalui media sosial.

SN Nair berkata surat tuntutan itu menuntut Tuan Ibrahim menarik balik kenyataan berkenaan dengan serta-merta serta membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat.

Baca juga:

Selain itu, Tuan Ibrahim turut dikehendaki memberikan aku janji untuk tidak mengulangi dakwaan sama serta membayar ganti rugi dan kos guaman.

“Tuan Ibrahim diberikan tempoh 48 jam untuk memberikan maklum balas terhadap tuntutan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Tuan Ibrahim didakwa menyampaikan ceramah politik di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, Pahang pada 14 Jun lalu yang mengandungi beberapa kenyataan dipertikaikan. Rakaman ceramah berkenaan kemudiannya diterbitkan semula menerusi akaun media sosial.

Antara kenyataan yang dipertikaikan termasuk dakwaan bahawa Anwar mencampuri urusan pewarisan takhta Institusi Diraja Negeri Sembilan.

Related Posts