Anak kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan dakwaan bahawa bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pernah diusir keluar daripada kediaman rasmi selepas pertukaran kerajaan negeri.
Menerusi kenyataan di media sosial, beliau menegaskan kediaman rasmi Menteri Besar merupakan hak milik kerajaan negeri dan urusan keluar masuk kediaman berkenaan dilakukan mengikut prosedur biasa.
Beliau turut meminta supaya dakwaan berhubung isu berkenaan dihentikan kerana ia disifatkan sebagai naratif yang tidak tepat.
“Kediaman Rasmi itu hak milik kerajaan. Semua maklum. Urusan keluar masuk rumah diuruskan secara biasa. Janganlah main naratif ini lagi.
“Bapak saya tu tak jahat. Dia masih ada rumah sendiri. Ini bukan harta dia pun tiba-tiba nak halau orang. Dia pun tahu ini tumpangan,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan seperti itu bukan kali pertama dibangkitkan dan berharap perkara tersebut tidak lagi dijadikan bahan untuk menyerang bapanya.
Menurutnya, ibu bapanya pada awalnya tidak bercadang untuk berpindah ke kediaman rasmi selepas Aminuddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, sebaliknya terus menetap di rumah mereka di Taman Desa Ixora.

Pindah faktor keselamatan
Katanya, keputusan berpindah dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan, khususnya keadaan anggota pengawal keselamatan yang perlu bertugas di luar rumah dalam sebuah kabin.
“Parents saya tinggal di rumah kami di Taman Desa Ixora dalam sebulan selepas angkat sumpah. Mula-mula tak plan pun nak pindah ke Kediaman Rasmi.
“Tapi mengenangkan kesian guards yang kena station luar rumah dalam cabin, tak convenient. Rumah kami taman perumahan biasa sahaja. Kesian jiran-jiran, tiada privacy sebab tiba-tiba ada guards dan bodyguards keluar masuk lorong taman,” katanya.
Hantaran tular
Isu berkenaan timbul selepas satu hantaran di media sosial mendakwa Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat pernah diusir keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar pada tengah malam selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Hantaran itu turut mendakwa tindakan berkenaan menunjukkan penyokong PH ketika itu tidak menghormati jasa Mohamad Hasan yang pernah menerajui negeri berkenaan.
Susulan dakwaan tersebut, anak Aminuddin tampil memberikan penjelasan dengan menegaskan tiada pihak diusir daripada kediaman rasmi berkenaan.








