Projek monorel Putrajaya yang dihentikan sejak lebih dua dekad lalu tidak akan diteruskan buat masa ini selepas kajian mendapati sistem berkenaan tidak lagi berdaya maju berdasarkan keadaan infrastruktur rel sedia ada.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen memaklumkan, dapatan itu diperoleh hasil Kajian Pengangkutan Awam di Putrajaya, Cyberjaya, Bangi dan Kajang yang turut menilai kebolehlaksanaan projek monorel berkenaan.
Menurut kementerian itu, infrastruktur rel yang dibina sebelum ini termasuk terowong bawah tanah yang sudah lama terbiar memerlukan penilaian menyeluruh sebelum sebarang keputusan berkaitan projek berkenaan dibuat.
MOT berkata, kajian lanjut secara terperinci seperti ujian integriti struktur perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti keadaan sebenar struktur sedia ada yang telah lama tidak digunakan.
“Memandangkan tempoh projek yang lama terbengkalai, kajian terperinci seperti ujian integriti struktur diperlukan bagi mengenal pasti keadaan sebenar struktur berkenaan,” katanya.
Jawapan itu diberikan sebagai maklum balas terhadap soalan Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman yang ingin mengetahui sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk meneruskan semula projek monorel Putrajaya dengan memperluaskan rangkaiannya bagi membantu menangani isu kesesakan jalan raya.
Baca juga:
- Malaysia pertimbang semula kewujudan UNHCR jika enggan bekerjasama
- ‘Projek monorel Putrajaya tidak berdaya maju diteruskan’ – MOT
- ‘Dulu ada GST…’ – Ahmad Maslan jawab isu laluan motosikal gelap
Sebagai alternatif kepada sistem rel berkenaan, MOT memaklumkan kerajaan kini menyediakan beberapa perkhidmatan Bas Nadi Putra yang membabitkan tujuh laluan dengan 26 bas serta merekodkan purata 2,246 penumpang pada hari bekerja.
Selain itu, perkhidmatan bas perantara turut disediakan menerusi dua laluan dengan lapan bas, manakala perkhidmatan Rapid On-Demand melibatkan tiga laluan dengan sembilan van.
Kedua-dua perkhidmatan itu masing-masing mencatatkan purata 1,173 penumpang dan 315 penumpang pada hari bekerja.
MOT berkata, penyediaan perkhidmatan berkenaan bertujuan memperkukuh aksesibiliti serta ketersambungan pengangkutan awam di Putrajaya menerusi penyelesaian mobiliti yang lebih fleksibel dan menyeluruh.
Sumber: Berita Harian









