Tirai panjang perbicaraan undang-undang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung kes dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) akhirnya berakhir apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan pembebasan Ahli Parlimen Muar itu daripada empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Memetik laporan Sinar Harian, keputusan itu dibuat menerusi majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang, dengan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpandangan Syed Saddiq wajar dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.
Sementara itu, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mempengerusikan panel tersebut mempunyai pandangan berbeza apabila mendapati bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 34 tahun itu bersalah.
Baca juga:
- YouTuber, pengkritik bola sepak patah tulang mata dipukul dua individu tidak dikenali
- ‘Perjuangan ini tidak pernah hanya tentang saya’ – Syed Saddiq luah rasa syukur
- Keputusan majoriti 2-1 memihak Syed Saddiq, kekal bebas daripada pertuduhan
Keputusan majoriti itu sekali gus menyaksikan rayuan akhir pihak pendakwaan ditolak, selain mengekalkan pembebasan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023.
Sebaik keluar dari Mahkamah Persekutuan, Syed Saddiq bersama ahli keluarga dilihat melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran selepas keputusan itu diumumkan.
Suasana di luar mahkamah turut disusuli tepukan daripada ahli keluarga dan penyokong beliau yang hadir memberikan sokongan selepas keputusan berkenaan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas pertuduhan berkaitan dana Armada.









