Kerajaan Negeri Terengganu menjelaskan logo baharu kempen pelancongan ‘Visit Truly Terengganu 2027’ direka dengan mengambil kira identiti negeri serta mematuhi garis panduan Islamik.
Penyu terus dikekalkan sebagai ikon utama Terengganu, namun reka bentuknya diolah semula agar bersesuaian dengan kehendak syariat.
Memetik laporan Bernama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, logo itu merupakan penambahbaikan daripada rekaan yang diperkenalkan pada 2007. Menurutnya, reka bentuk baharu tampil lebih moden dengan penggunaan warna dan bentuk yang melambangkan pergerakan.
“Logo ini adalah nilai tambah daripada rekaan 2007. Dulu rekaannya kelihatan statik seperti patung tetapi kali ini kami beri warna dan bentuk baharu yang melambangkan pergerakan,” katanya.
Razali berkata, reka bentuk penyu itu sengaja tidak dihasilkan dengan ciri fizikal yang lengkap bagi mengelakkan isu berkaitan patung binatang dalam Islam. Beliau berkata pendekatan itu penting kerana logo berkenaan akan digunakan dalam pelbagai medium termasuk pakaian rasmi dan barangan cenderamata untuk tempoh yang lama.
“Dalam Islam, pakaian yang mempunyai lambang binatang tidak boleh digunakan untuk solat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri optimis mampu mencapai sasaran sembilan juta pelancong ke Terengganu menjelang akhir tahun ini. Setakat suku pertama tahun ini, seramai 2.45 juta pelancong direkodkan mengunjungi negeri itu termasuk destinasi pulau-pulau peranginan.
“Kami sedang menyiapkan laporan kedatangan pelancong untuk tempoh enam bulan yang akan dibentangkan pada sidang DUN akan datang,” katanya.
Baca juga:
- YouTuber, pengkritik bola sepak patah tulang mata dipukul dua individu tidak dikenali
- ‘Perjuangan ini tidak pernah hanya tentang saya’ – Syed Saddiq luah rasa syukur
- Keputusan majoriti 2-1 memihak Syed Saddiq, kekal bebas daripada pertuduhan
Beliau juga memaklumkan data kemasukan kenderaan melalui plaza tol menunjukkan peningkatan kepada 829,000 pada Mei sebelum merekodkan 608,000 pada Jun. Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai sistem pengiraan tersendiri bagi mendapatkan angka sebenar kedatangan pelancong.
Terdahulu, tular di media sosial pelbagai rungutan daripada orang ramai, khususnya peserta pertandingan mencipta logo Visit Truly Terengganu 2027, yang mempersoalkan pemilihan logo tersebut dan mendakwa proses penilaiannya tidak bersikap adil.
Difahamkan, pertandingan itu menerima sebanyak 244 penyertaan daripada peserta yang mengemukakan reka bentuk masing-masing.








