Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjelaskan penyediaan kemudahan laluan pejalan kaki di beberapa stesen LRT3 dalam kawasan pentadbirannya telah dirancang sejak kelulusan pelan pembangunan pada 2019 bagi memastikan akses yang selamat, selesa dan mesra pengguna.
Dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum pandangan serta maklum balas orang ramai berhubung kemudahan laluan pejalan kaki di Stesen Dato’ Menteri, Stesen Stadium Shah Alam, Stesen Seksyen 7 dan Stesen Kerjaya yang mula beroperasi pada 29 Jun lalu.
Menurut kenyataan itu, semasa meluluskan pelan pembangunan stesen LRT3 pada 2019, MBSA telah menetapkan syarat supaya laluan pejalan kaki disediakan bagi menghubungkan stesen dengan kawasan tumpuan, pembangunan komersial serta kemudahan awam di sekitarnya.
Stesen Dato’Menteri
Bagi Stesen Dato’ Menteri, Prasarana diberikan kelulusan pelan pembangunan dengan syarat menyediakan laluan pejalan kaki berbumbung selebar minimum lima kaki yang menghubungkan stesen ke Shah Alam Convention Centre (SACC), Kompleks PKNS serta sepanjang Persiaran Bandaraya sehingga bangunan Maybank.
“Pembinaan kemudahan ini sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2026,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, MBSA turut mensyaratkan penyediaan laluan pejalan kaki kepada pembangunan berhampiran yang dilaksanakan oleh PKNS, Nexus Pace Sdn. Bhd. dan Starhill Century Sdn. Bhd. bagi melengkapkan rangkaian laluan pejalan kaki di kawasan berkenaan.
Baca juga:
- Dari LRT2 ke LRT3, legasi seorang bapa diteruskan anak
- Isu tular laluan pejalan kaki LRT3: MBSA tampil beri penjelasan
- LRT3 Shah Alam: Sultan Selangor zahir penghargaan kepada Najib dan Anwar
Stesen Stadium Shah Alam
Stesen Stadium Shah Alam pula, Prasarana diwajibkan menyediakan laluan pejalan kaki dari Jalan Lontar Peluru 13/39 ke Jalan Tukul Besi 13/41 serta di Persiaran Sukan berhampiran Management and Science University (MSU).
“Laluan pejalan kaki sedia ada dari Jalan Tukul Besi 13/41 ke tapak gantian tempat letak kereta juga disyaratkan dinaik taraf, manakala syarat sama turut dikenakan kepada beberapa pemaju termasuk MSU Aset Sdn. Bhd., PKNS, Fernline Corporation Sdn. Bhd., Moripark Sdn. Bhd. dan Lebaran Prospek Sdn. Bhd. bagi membolehkan rangkaian laluan pejalan kaki dibangunkan secara berperingkat,” menurut kenyataan itu.
Tindakan segera
Sebagai langkah segera, MBSA memaklumkan pihaknya akan melaksanakan pembinaan laluan pejalan kaki sepanjang 200 meter sebagai sambungan dari Stesen Stadium Shah Alam ke persimpangan lampu isyarat Persiaran Sukan dan Persiaran Akuatik dalam tempoh satu bulan.
“Bagi laluan sambungan dari Persiaran Akuatik ke Aeon Mall pula, MBSA berkata proses pelantikan kontraktor sedang dilaksanakan bagi kerja-kerja menaik taraf persiaran tersebut,” katanya.









