Penyampai radio dan pelakon Azad Jazmin menafikan spekulasi kononnya beliau direhatkan atau digantung tugas daripada stesen radio Era FM susulan beberapa isu yang dikaitkan dengannya kebelakangan ini.
Memetik laporan mStar, Azad, 50, yang mengendalikan segmen 3 Pagi Era bersama Nabil Ahmad dan Radin berkata, ketiadaannya di konti selama lebih seminggu sebelum ini adalah kerana beliau mengambil cuti panjang yang telah lama dirancang.
“Benda itu salah faham sahaja. Sebenarnya saya ambil cuti yang memang sudah lama saya minta,” katanya.
Menurut Azad atau mesra dikenali sebagai Pak Azad, tempoh cuti tersebut turut dimanfaatkan untuk meluangkan masa bersama keluarga, lebih-lebih lagi selepas anaknya, Amarra, tersingkir daripada program Talk To My Manager 2 (TTMM2).
“Saya memang ambil cuti panjang. Kebetulan anak saya Amarra pun sudah tersingkir daripada TTMM2, jadi kami luang masa bersama. Pagi ini saya sudah kembali bertugas seperti biasa. Tak ada apa-apa masalah atau kaitan dengan mana-mana isu pun,” jelasnya.
Baca juga:
- Pak Azad nafi spekulasi digantung tugas, anggap hanya salah faham
- Video ‘Birthday Prank’ ibu cetus perdebatan, Didi Astillah tampil mohon maaf
- Catatan doa dan persiapan Haji Lisa Surihani raih perhatian
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan isu tular sebelum ini tidak memberi sebarang kesan terhadap kerjayanya, malah menyatakan perkara tersebut tidak menjejaskan pihak stesen radio mahupun dirinya.
“Sebenarnya benda ini tidak ada kaitan seperti yang diperkatakan. Malahan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua juga berterima kasih kepada saya,” ujarnya.
Terdahulu, video yang dimuatnaik oleh Pak Azad mencetuskan perhatian apabila beliau mempersoalkan kewujudan sebuah bangunan bertingkat yang mencurigakan di kawasan Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor ketika dalam perjalanan ke sesi penggambaran.
Video tersebut kemudiannya tular dan meraih perhatian pelbagai pihak.









