Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan penamatan kontrak beberapa individu penting dalam struktur pasukan kebangsaan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Rob Friend dan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, menerusi persetujuan bersama.
Dalam satu kenyataan media hari ini, FAM memaklumkan kontrak Rob Friend atau nama penuhnya Robert Douglas Friend telah ditamatkan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama.
Turut menamatkan perkhidmatan menerusi kaedah sama ialah Peter Cklamovski bersama dua staf teknikal skuad senior kebangsaan, Matthew Smith dan Seiya Imazaki, yang berkuat kuasa pada 16 Jun 2026.
Pada masa sama, FAM turut mengesahkan kontrak Ketua Jurulatih Pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) Kebangsaan, Nafuzi Zain serta jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin, juga ditamatkan atas persetujuan bersama bermula 15 Jun 2026.
Baca juga:
- Pas tegaskan dakwah di IPT tidak bercanggah Perlembagaan
- ‘Universiti awam tidak wajar jadi platform galakan penukaran agama’ – Dr Lingeshwaran
- ‘Jangan sampai biduk yang ditumpang, menentukan haluan nakhoda’ – Sultan Pahang
Menurut badan induk bola sepak negara itu, pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh semua pihak terlibat dan merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih atas jasa, komitmen dan sumbangan mereka sepanjang berkhidmat bersama pasukan kebangsaan.
“FAM menghormati keputusan yang dibuat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan yang telah dicurahkan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama pasukan kebangsaan,” menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan kelancaran hala tuju dan kesinambungan program pasukan kebangsaan, FAM memaklumkan bahawa langkah-langkah sewajarnya sedang diambil untuk mengisi jawatan-jawatan yang dikosongkan susulan penamatan kontrak berkenaan.








