Empat sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan maut selepas kereta jenis Honda City yang dinaiki mereka dihempap sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, treler berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh berbukit sebelum terbabas dan menghempap kereta mangsa yang berada di lorong kiri lebuh raya.
Kesemua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26, dan Nayla Afya Aizat yang berusia setahun.
Mayat kesemua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.
Situasi di lokasi kejadian menjadi lebih cemas apabila treler terbabit dilaporkan terbakar ketika proses pengalihan dijalankan pihak berkuasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kebakaran dikesan ketika sebuah jentera penyodok cuba mengalihkan treler berkenaan selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan.
Baca juga:
- Flat haram Sungai Tekali: Warga Rohingya dakwa pemilik tanah tawarkan sewa
- Video tular pukul pembantu rumah: Polis tahan dua pasangan suami isteri
- Empat sekeluarga termasuk bayi maut, kereta dihempap treler di KL-Karak
Sementara itu, beberapa pengguna media sosial di Thread turut berkongsi keadaan trafik yang sesak teruk susulan kemalangan berkenaan.
Seorang netizen memaklumkan laluan di kawasan Bukit Tinggi menghala ke Kuala Lumpur mengalami kesesakan panjang apabila banyak kenderaan terpaksa berpatah balik dan menggunakan jalan alternatif.
“Highway KL-Karak area Bukit Tinggi. Semua reverse pusing masuk jalan biasa. Ada beberapa kemalangan berlaku, lori terbalik. Jadi tengok Google Maps dulu sebelum gerak,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Seorang lagi pengguna jalan raya yang melalui lokasi kejadian sekitar jam 7.11 malam mendakwa treler berkenaan telah terbakar dan mengeluarkan bunyi letupan ketika operasi pengalihan sedang dijalankan.
“Baru lalu 7.11 malam tadi, lori dah meletup,” tulisnya ringkas.
Sumber: Sinar Harian, Thread









