Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
PASTI Negeri Melaka menafikan dakwaan bahawa seorang bekas jurulatih bola jaring telah ‘dipecat’ seperti yang tular di media sosial, sebaliknya menjelaskan pelantikan individu terbabit sebelum ini adalah bersifat sukarela dan bukan kontrak profesional.
Dalam satu kenyataan, PASTI Negeri Melaka memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai satu hantaran di platform Threads oleh seorang wanita yang mendakwa beliau telah dipecat sebagai jurulatih bola jaring oleh pihak pengurusan. Dakwaan itu turut menyebut bahawa beliau telah diminta disiasat selepas beberapa hantaran di media sosial menjadi tular.
Menurut Pengarah PASTI Negeri Melaka, Mohd Norfaizal Nordin berkata, institusi pendidikan itu bukan sahaja memberi fokus kepada pendidikan agama, malah turut menekankan pembangunan sahsiah serta aktiviti kokurikulum termasuk sukan seperti bola jaring. Malah, setiap tahun PASTI menghantar wakil ke pertandingan peringkat kebangsaan bersama kontinjen seluruh negara.
Baca juga:
- PASTI Melaka nafi dakwaan pecat jurulatih bola jaring
- Remaja terselamat dari diculik, gigit tangan suspek sebelum lari selamatkan diri
- Penganggur didenda RM5,000 muat naik hantaran hina Islam
Khidmat jurulatih secara sukarela
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa khidmat jurulatih luar yang dilantik sebelum ini adalah atas dasar sukarela dan bantuan khidmat masyarakat, terutama ketika musim pertandingan, tanpa sebarang kontrak jangka panjang atau profesional. Oleh itu, PASTI menegaskan tiada istilah ‘pemecatan’ seperti yang didakwa.
“Apabila tiba musim pertandingan, adalah perkara biasa untuk pihak kami mendapatkan bantuan jurulatih bagi melatih anak-anak yang terlibat. Namun perlu ditegaskan, pelantikan tersebut dibuat atas dasar sukarela dan bantuan khidmat masyarakat, bukannya secara profesional atau kontrak jangka panjang.
“Sepanjang sejarah PASTI, tidak pernah wujud sebarang kontrak bertahun-tahun bagi jawatan jurulatih sukan. Individu berkenaan sebelum ini membantu atas kesediaan beliau sendiri untuk melatih anak-anak PASTI dan kami menghargai sumbangan tersebut,” katanya.

Elak sebarang persepsi
PASTI Negeri Melaka turut menjelaskan bahawa individu berkenaan sebelum ini membantu melatih pasukan atas inisiatif sendiri, namun pihaknya kini memilih untuk menggunakan tenaga dalaman bagi mengelakkan sebarang persepsi atau polemik politik, susulan individu terbabit didakwa membawa identiti politik secara terbuka.
Mengulas dakwaan bahawa beliau disiasat atau dipecat, PASTI menyifatkan kenyataan tersebut sebagai naratif tidak matang dan menyerahkan perkara itu kepada individu berkenaan untuk dijelaskan. Dalam masa sama, PASTI menegaskan fokus utama mereka adalah kepada pendidikan, pembinaan akhlak dan pembangunan pelajar tanpa melibatkan perbezaan politik.









