Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang penganggur didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kulim selepas mengaku bersalah menghina Islam menerusi satu hantaran di media sosial, Januari lalu.
Tertuduh, Tsen Vui Kiong, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah. Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lapan bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Sandakan, Sabah itu didakwa memuat naik hantaran menerusi akaun Facebook ‘Jimmy Tsen’ pada 16 Januari lalu. Hantaran tersebut kemudian dibaca seorang lelaki di Taman Selasih pada 6 Februari lalu.
Hantaran itu didakwa mengandungi perkataan serta gambar kartun yang sengaja dibuat dengan niat melukakan perasaan agama pengadu.
Baca juga:
- PASTI Melaka nafi dakwaan pecat jurulatih bola jaring
- Remaja terselamat dari diculik, gigit tangan suspek sebelum lari selamatkan diri
- Penganggur didenda RM5,000 muat naik hantaran hina Islam
Dia didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hairul Alif Hairul Azam. Pihak pembelaan memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh tidak bekerja dan perlu menjaga ibu bapanya yang uzur, namun pihak pendakwaan menegaskan hukumman setimpal penting sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak menghina agama lain di media sosial.
Sumber: Utusan









