Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sebuah video tular di sebuah restoran di Iran merakamkan pemilik premis enggan menerima bayaran daripada pelanggan warga China sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara.
Dalam rakaman tersebut, beberapa pelanggan dilihat berulang kali cuba membayar bil makanan mereka, namun pemilik restoran berkeras menolak pembayaran sambil menyatakan bahawa rakyat China sentiasa berdiri bersama Iran ketika negara itu berdepan waktu sukar.
Seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai penterjemah atau pemandu pelancong turut menerangkan situasi berkenaan kepada kumpulan pelancong itu. Menurutnya, pemilik restoran berasa terharu dengan hubungan baik antara Iran dan China sehingga mahu membelanja makanan mereka sebagai tanda penghargaan.
Rakaman itu turut memaparkan perbualan penuh emosi apabila pelanggan China tetap mahu menjelaskan bayaran kerana tidak mahu dianggap mengambil kesempatan atas layanan yang diberikan.
“Orang China tak boleh makan percuma, mesti bayar,” kata salah seorang pelanggan dalam video tersebut.
Dalam rakaman video berkenaan juga, pelanggan itu dilihat menghadiahkan patung panda kepada pelanggan terbabit sambil menyifatkannya sebagai simbol dan khazanah negara China.
Video tersebut menarik perhatian ramai pengguna media sosial di China yang tersentuh dengan layanan mesra rakyat Iran terhadap tetamu mereka. Ramai netizen menyifatkan insiden itu sebagai contoh hubungan persahabatan dan saling menghormati antara dua budaya yang sama-sama menitikberatkan layanan terhadap tetamu.








