Kerajaan Negeri Selangor sambut baik penganjuran Himpunan Daulat Tuanku | The Reporter

Kerajaan Negeri Selangor sambut baik penganjuran Himpunan Daulat Tuanku

Exco Selangor Mohd Najwan Halimi menyambut baik penganjuran Himpunan Daulat Tuanku di Shah Alam bagi mempertahankan institusi diraja.
Gambar: Media Selangor

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik penganjuran “Himpunan Daulat Tuanku” yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini bagi menyatakan solidariti mempertahankan institusi diraja di negeri itu.

Menurut beliau, objektif himpunan berkenaan selaras dengan pendirian konsisten kerajaan negeri dalam mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan institusi diraja di Selangor.

“Saya menyambut baik objektif perhimpunan ini yang juga selaras dengan pendirian konsisten kerajaan negeri dalam mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan institusi diraja di negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut berharap himpunan yang dirancang itu dapat diadakan secara aman, tertib dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Baca juga:

Menurut Najwan, beliau juga telah berhubung dengan Ketua Polis Selangor bagi memohon pihak polis memudah cara perjalanan himpunan tersebut supaya berlangsung dalam keadaan selamat dan terkawal.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Pejabat Menteri Besar Selangor akan menyediakan makanan dan minuman kepada peserta yang hadir.

“Saya turut dimaklumkan oleh setiausaha politik Menteri Besar Selangor saudara Saifuddin Shafi Muhamad, pihak Pejabat Menteri Besar akan menyediakan makanan dan minuman kepada mereka yang hadir,” katanya.

Terdahulu, Pemuda PAS Selangor bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) mengumumkan penganjuran “Himpunan Daulat Tuanku” susulan kontroversi membabitkan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, himpunan itu diadakan susulan beberapa tindakan dan kenyataan pemimpin DAP yang didakwa tidak menghormati kedaulatan institusi diraja di negeri berkenaan.

Menurut beliau, program itu dijadual berlangsung pada 16 Mei 2026, jam 5 petang di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dengan peserta diminta memakai pakaian berwarna kuning.

Katanya, himpunan berkenaan bertujuan menzahirkan kesetiaan rakyat kepada titah Sultan Selangor selain menegaskan kepentingan mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan institusi diraja di negeri itu.

Related Posts