Tindakan seorang lelaki warga emas menampal jalan raya yang berlubang menggunakan kudrat mencuri perhatian ramai selepas rakaman video mengenainya tular di media sosial.
Video berkenaan pada asalnya dimuat naik oleh aktivis, Lando Zawawi sebelum ia dikongsikan secara meluas oleh pengguna media sosial lain.
Kejadian dikatakan berlaku di Jalan Merpati, Kalumpang. Lelaki berkenaan dilihat membaiki permukaan jalan menggunakan simen tanpa bantuan pihak lain.
Difahamkan, kos pembaikan tersebut dipercayai ditanggung sepenuhnya oleh dirinya sendiri.
Baca juga:
- LRT3 Shah Alam: Sultan Selangor zahir penghargaan kepada Najib dan Anwar
- Hilang sebelah kaki bukan penghalang, dua beradik gigih usahakan Cendol Meleleh
- ‘Dulu BN buat, dilabel macam-macam, sekarang tukar nama je’ – Wee Ka Siong
Menerusi video tular itu, warga emas berkenaan yang memakai kemeja-T berkolar dilihat terbongkok-bongkok menampal lubang di jalan, sementara sebuah motosikal yang dipercayai miliknya diparkir berdekatan lokasi.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata meluahkan rasa simpati terhadap usaha lelaki tersebut. Dalam masa sama, ada yang mempersoalkan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan dalam memastikan penyelenggaraan jalan dilakukan dengan sewajarnya.








