Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Sumber Manusia memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mewartakan dua hari kelepasan am sempena sambutan Hari Wesak dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong bagi tahun 2026.
Menurut kenyataan itu, Hari Wesak akan disambut pada 31 Mei 2026 (Ahad), manakala Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pula jatuh pada 1 Jun 2026 (Isnin).
Kementerian menjelaskan bahawa Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong merupakan antara lima hari kelepasan am berbayar wajib yang perlu diberikan oleh majikan kepada pekerja sektor swasta di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kerja 1955 dan tidak boleh digantikan dengan hari lain.
Sementara itu, Hari Wesak dikategorikan sebagai hari kelepasan am berbayar yang boleh dipilih oleh majikan bagi melengkapkan baki enam hari kelepasan am berbayar yang perlu diberikan kepada pekerja.
Baca juga:
- Pendakwah tegur video tular pempengaruh review makanan
- Wanita warga emas maut dipercayai ditetak
- Muhammad Faris Johari dilantik Undang Luak Sungei Ujong baharu
Tambah kenyataan itu, sekiranya Hari Wesak jatuh pada hari rehat mingguan seperti Ahad, maka hari bekerja berikutnya hendaklah dijadikan sebagai cuti gantian berbayar.
“Majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat dan memilih Hari Wesak sebagai cuti berbayar perlu memberikan 1 Jun 2026 sebagai cuti sempena Hari Keputeraan Agong dan 2 Jun 2026 (Selasa) sebagai cuti gantian bagi Hari Wesak.
“Bagaimanapun, cuti gantian tersebut boleh ditukar ke hari lain dengan persetujuan pekerja seperti yang dibenarkan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, pekerja yang bergaji RM4,000 ke bawah serta kategori tertentu yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955 dan diarahkan bekerja pada hari kelepasan am berhak menerima kadar bayaran gaji khas seperti yang diperuntukkan.








