Raih 10A1 SPM, lelaki kongsikan kisah pengorbanan cikgu Matematik | The Reporter

Raih 10A1 SPM, lelaki kongsikan kisah pengorbanan cikgu Matematik

Guru Matematik mengajar pelajar lelaki sekolah menengah di dalam kelas awal pagi sebelum waktu persekolahan
Gambar hiasan

Tindakan seorang ibu yang memilih untuk menunggu anaknya di sekolah setiap pagi sebelum masuk kerja telah menyentuh hati ramai. Dalam video yang tular, wanita berkenaan berkongsi bahawa dia tidak sanggup meninggalkan anaknya sendirian, walaupun terpaksa mengorbankan masa dan rutin hariannya.

Menurutnya, walaupun anak itu kelihatan tenang dan mengatakan dirinya “okay”, sebagai seorang ibu dia dapat merasakan hakikat sebenar. Perasaan itu membuatkan dia memilih untuk tetap berada di sisi anaknya sehingga rakan anaknya tiba di sekolah. Baginya, momen meninggalkan anak keseorangan di awal pagi adalah sesuatu yang terlalu berat untuk dilakukan.

Kongsi pengalaman berharga

Perkongsian tersebut bukan sahaja meraih perhatian, malah membuka ruang kepada orang ramai untuk berkongsi pengalaman masing-masing. Salah satu komen yang mencuri perhatian adalah kisah seorang lelaki yang mengimbau kembali zaman persekolahannya yang penuh cabaran.

Lelaki berkenaan menceritakan bagaimana dia terpaksa hadir ke sekolah seawal jam 6 pagi kerana ayahnya perlu mengejar bas ke Kuala Lumpur. Pada awalnya, kehadirannya di sekolah pada waktu itu tidak diketahui sesiapa kecuali pengawal keselamatan, itupun jika bertugas.

“Waktu saya sekolah dulu, saya memang kena datang awal, sebab ayah nak kejar bas ke KL. Jadi nak tak nak memang kena duk sekolah pagi-pagi pukul 6. Mula-mula tak ada siapa tahu melainkan guard,” katanya.

Komen yang ditinggalkan pada satu hantaran TikTok meraih perhatian ramai
Baca juga:
Teman seawal 6 pagi

Namun segalanya berubah apabila seorang cikgu Matematiknya, dikenali sebagai Cikgu Yuneswari, menyedari keadaan tersebut. Sejak itu, cikgu berkenaan sanggup datang seawal jam 6 pagi setiap hari semata-mata untuk menemani pelajarnya itu.

Lebih menyentuh hati, cikgu tersebut bukan sekadar menemani, malah memanfaatkan waktu pagi itu untuk mengadakan sesi ulang kaji Matematik. Setiap hari, selepas pelajarnya selesai menunaikan solat Subuh, mereka akan mengulang kaji bersama sehingga waktu persekolahan bermula.

“Bila dah lama-lama, akhirnya cikgu pun tahu saya datang sekolah pkul 6 pagi. Start dari tu, cikgu math saya datang pukul 6 juga sama dengan saya. Nama dia cikgu Yuneswari. Dia akan tunggu saya dalam kelas sampai saya habis subuh. Habis je saya solat, cikgu Yunes akan buat ulangkaji math dengan saya. Sampai lah dekat pkul 7 pagi,” kongsinya.

Dedikasi dan keikhlasan itu ternyata membuahkan hasil apabila lelaki tersebut berjaya memperoleh keputusan cemerlang 10A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007. Dia mengakui, kejayaan tersebut sebahagian besarnya adalah hasil usaha dan pengorbanan mendiang cikgu Yuneswari.

“Dia bukan sekadar cikgu, tapi seperti ibu kepada saya. Dia mahu saya berjaya dan menggunakan setiap peluang untuk membantu saya,” luahnya penuh penghargaan.

Related Posts