Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelajar warga Korea Selatan mencipta sejarah apabila memperoleh keputusan cemerlang 10A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, termasuk Bahasa Melayu.
Kim Na Eun, 17, menjadi pelajar pertama dari negara itu di Malaysia yang mencapai keputusan tersebut, sekali gus membuktikan keupayaan pelajar antarabangsa menguasai sistem pendidikan tempatan dengan cemerlang.
Memetik laporan dari The Borneo Post, bapanya, Kim Taeho, berkata keluarganya tidak menyangka anaknya mampu meraih keputusan cemerlang ketika mereka hadir ke SMK St Columba bagi mengambil keputusan peperiksaan itu.
Menurutnya, Na Eun sebelum ini berdepan kesukaran mempelajari Bahasa Melayu ketika di sekolah rendah, namun berjaya mengatasi cabaran tersebut sehingga memperoleh A+ dalam subjek berkenaan.
Na Eun mengambil 10 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi serta Pengetahuan Bible.
Keluarganya berpindah dari Korea Selatan ke Miri pada tahun 2013 ketika Na Eun berusia lima tahun. Beliau memulakan pendidikan di SK St Columba sebelum meneruskan pengajian di SMK St Columba.
Taeho yang merupakan jurulatih taekwondo berkata anaknya tidak mengikuti kelas tuisyen di luar sekolah, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembelajaran kendiri dan disiplin tinggi.
Katanya, Na Eun juga merupakan pemegang tali pinggang hitam Dan keempat (Kukkiwon) dalam taekwondo dan menjalani latihan setiap hari selain aktif menyertai kejohanan peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Sementara itu, Na Eun berkata latihan taekwondo banyak membantunya membina ketahanan diri dalam menghadapi tekanan sepanjang tempoh persediaan SPM.
Beliau merancang untuk melanjutkan pengajian dalam program A Levels sebelum menyambung pengajian dalam bidang pergigian, namun dalam masa terdekat akan memberi fokus kepada latihan bagi menghadapi Kejohanan Sukan Kebangsaan Korea ke-107 yang dijadual berlangsung pada 17 Oktober di Pulau Jeju, Korea Selatan.
Sementara itu, seorang lagi gadis dari Korea mencuri tumpuan apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. Park So Hyun yang merupakan pelajar Sekolah Methodist Wesley memperoleh 10A dengan keputusan 10A+ dalam subjek Bahasa Melayu, Matematik, Matematik Tambahan dan Kimia.








