Kes pukul dalam kem: Anggota tentera parah, Koperal ditahan | The Reporter

Kes pukul dalam kem: Anggota tentera parah, Koperal ditahan

Polis menahan seorang Koperal terlibat dalam kes pukul anggota tentera.
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang anggota tentera dilaporkan cedera parah dalam satu kejadian yang dipercayai berlaku di dalam kem tentera di daerah ini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.45 pagi, 31 Mac, yang dibuat oleh bapa mangsa berusia 49 tahun.

“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 8 malam, 30 Mac di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong,”katanya.

Menurutnya, seorang anggota tentera berpangkat koperal disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan dengan memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.

“Siasatan turut mendapati enam lagi mangsa berusia antara 19 hingga 22 tahun berada bersama dalam kejadian berkenaan.

“Seorang mangsa berusia 24 tahun dilaporkan pengsan dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

“Mangsa masih tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan, manakala mangsa lain pula dirujuk ke Hospital Bentong bagi pemeriksaan lanjut, ” katanya dalam kenyataan.

Baca juga:

Zaiham berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang anggota tentera berpangkat koperal berusia 37 tahun pada jam 2.30 petang, 31 Mac bagi membantu siasatan.

“Suspek direman selama empat hari bermula 1 hingga 4 April. Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, manakala polis memberi jaminan siasatan terperinci sedang dijalankan.

“Polis menjalankan siasatan terperinci terhadap kes itu,” katanya.

Related Posts