Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan negeri Sabah akan menjalankan siasatan segera berhubung penularan gambar memaparkan al-Quran dipijak serta diconteng yang dipercayai dilakukan oleh individu berasal dari negeri itu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang menghina agama Islam.
Menurutnya, tindakan tersebut disifatkan sebagai biadab dan melampau kerana mencemarkan kesucian agama serta mengguris perasaan umat Islam.
“Perbuatan ini adalah tindakan biadab dan melampau yang cuba mencemarkan maruah agama serta boleh menggores perasaan umat Islam,” katanya.
Tiada kompromi, tindakan tegas
Sehubungan itu, beliau meminta beberapa pihak berkuasa termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.
“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat.
“Kita tidak boleh berkompromi terhadap perbuatan menghina al-Quran, lebih-lebih lagi ketika umat Islam berada dalam bulan Ramadan yang mulia,” katanya.
Baca juga:
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
- Sanusi tegas tolak Langkawi jadi Wilayah Persekutuan
Potensi jejaskan perpaduan masyarakat
Menurut Mohd Arifin, perbuatan melampau seperti itu juga boleh menimbulkan keresahan serta kemarahan dalam kalangan umat Islam dan berpotensi menjejaskan perpaduan masyarakat.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri.
“Harap masyarakat menghadapi perkara ini dengan sabar dan tenang serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial Threads gambar memaparkan sebuah naskhah al-Quran dipijak serta diconteng dengan lakaran yang menghina Nabi Muhammad, yang didakwa dilakukan oleh individu berasal dari Sabah.
Sumber: Harian Metro








