Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kenyataan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menyebut, “Jika kamu tidak menyukai kami, lepaskan kami sahaja. Lupakan” mencetuskan perhatian ramai apabila beliau meluahkan kebimbangan terhadap budaya perbalahan politik yang semakin berlarutan, khususnya melibatkan hubungan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, kecenderungan untuk terus berbalah dalam isu kaum, agama dan bahasa berisiko menjejaskan keharmonian negara jika tidak ditangani dengan pendekatan lebih matang dan berhemah.
Kebimbangan terhadap budaya perbalahan politik
Ketika menjadi tetamu program The Breakfast Grille di BFM 89.9, Alexander Nanta Linggi menegaskan Sarawak memilih jalan berbeza dalam mengurus isu sensitif menerusi pendekatan yang sering dirujuk sebagai Formula Sarawak, iaitu berbincang secara terbuka tetapi menyelesaikannya secara harmoni tanpa pertelingkahan berpanjangan.
Menurut beliau, pendekatan itu terbukti berkesan mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian sosial di Sarawak walaupun komposisi kaum di negeri berkenaan sangat pelbagai.
Nanta turut menyuarakan kebimbangan sekiranya budaya konflik politik yang berterusan dibiarkan, ia boleh mencetuskan jurang kefahaman antara wilayah dan rakyat, sekali gus melemahkan asas perpaduan negara.
Baca juga:
- Sultan Selangor cadang penyokong Selangor FC cetus kekacauan diharamkan masuk stadium
- ‘Tugas SPRM dapatkan semula wang dicuri, kembalikan kepada rakyat’ – Azam Baki
- ‘Jangan takut, kajian dijalankan oleh UIA, bukan orang DAP’ – Hannah Yeoh
“Itu hanyalah ungkapan”
Susulan reaksi dan kritikan terhadap kenyataannya, Nanta kemudiannya tampil menjernihkan keadaan dengan menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak berniat mencadangkan Sarawak berpisah daripada Malaysia.
Ketika ditemui media selepas majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) projek pembinaan Penjara Sibu, beliau menjelaskan bahawa kata-kata tersebut hanyalah satu ungkapan bagi menzahirkan keperluan menghentikan pertelingkahan yang tidak berkesudahan.
“Saya tidak pernah berniat mengatakan kita mahu bercerai. Maksud saya ialah kita perlu hidup dalam keharmonian dan memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki kehidupan rakyat, bukannya menghabiskan masa dengan berbalah,” katanya.
Beliau berkata, jika kenyataan itu didengar secara menyeluruh, mesej sebenar yang ingin disampaikan ialah keperluan untuk kembali kepada semangat saling menghormati demi kestabilan negara.
Komitmen Sarawak terhadap Malaysia
Nanta turut menegaskan Sarawak kekal komited terhadap kepentingan nasional dan pembinaan negara, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Menurutnya, Sarawak sentiasa berdiri bersama Malaysia, termasuk sebelum pembentukan negara ini apabila rakyatnya menyumbang kepada usaha mempertahankan Tanah Melayu.
Beliau menekankan bahawa kemakmuran Sarawak akan turut menyumbang kepada kemakmuran Malaysia secara keseluruhan, justeru semua pihak perlu memahami cara pemikiran dan pendekatan negeri itu yang meletakkan keharmonian sebagai asas utama.
“Saya cintakan Malaysia. Jika kenyataan itu akhirnya menyedarkan kita semua supaya tidak terus bergaduh dan kembali hidup dalam keharmonian, maka itu adalah sesuatu yang baik,” katanya.
Sumber: Sabah Media, Harian Metro











