Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Lebih dua tahun selepas dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), Ahmad Zahid Hamidi kini menuntut kepastian undang-undang dengan memohon Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskannya sepenuhnya daripada 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Permohonan itu difailkan pada 28 Januari lalu susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, berhujah status DNAA menyebabkan anak guamnya terus berada dalam keadaan tidak menentu walaupun pendakwaan sendiri telah memilih untuk tidak meneruskan kes.
Baca juga:
- Sultan Selangor cadang penyokong Selangor FC cetus kekacauan diharamkan masuk stadium
- ‘Tugas SPRM dapatkan semula wang dicuri, kembalikan kepada rakyat’ – Azam Baki
- ‘Jangan takut, kajian dijalankan oleh UIA, bukan orang DAP’ – Hannah Yeoh
Mahkamah beri ruang pendakwaan jawab
Pada prosiding hari ini, mahkamah membenarkan permohonan pendengaran ditangguhkan selepas pihak pendakwaan memohon masa untuk menyediakan afidavit jawapan. Pendakwaan diarahkan memfailkan afidavit selewat-lewatnya 13 Februari, manakala pendengaran penuh ditetapkan pada 24 Februari ini.
Pihak pembelaan tidak membantah penangguhan itu dan memaklumkan Ahmad Zahid dijangka hadir pada tarikh pendengaran.
Keputusan NFA jadi asas tuntutan
Sebelum ini, AGC menjelaskan keputusan NFA dibuat selepas menilai keterangan baharu serta enam representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan. Peguam Negara turut menegaskan keputusan tersebut dibuat berdasarkan merit undang-undang dan bukannya secara sewenang-wenangnya.
Untuk rekod, Mahkamah Tinggi pada September 2023 memutuskan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan selepas pendakwaan memaklumkan hasrat untuk memberhentikan prosiding, sekali gus membuka ruang kepada permohonan terbaharu bagi menamatkan kes itu secara muktamad.
Sumber: Harian Metro











