'Fei Mao' berjaya tamatkan larian 10km pada usia 74 tahun | The Reporter

‘Fei Mao’ berjaya tamatkan larian 10km pada usia 74 tahun

Fei Mao tamatkan larian 10km pada usia 74 tahun dengan bimbingan Chow Yun Fat
Fei Mao kembali jadi inspirasi, kali ini bukan di layar kaca tetapi di garisan penamat larian 10km.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bukan sekadar pelakon legenda, aktor veteran Hong Kong, Kent Cheng membuktikan usia bukan penghalang apabila berjaya menamatkan larian 10 kilometer buat kali pertama dalam hidupnya, hasil dorongan dan bimbingan rakan seperjuangan, Chow Yun Fat.

Pelakon berusia 74 tahun itu menyertai Standard Chartered Hong Kong Marathon pada 18 Januari lalu, sekali gus menandakan pencapaian peribadi yang disifatkannya sebagai “impian yang menjadi kenyataan”.

Dalam satu hantaran di akaun Douyin miliknya pada 19 Januari, Kent mengakui beliau langsung tidak mempunyai latar belakang larian sebelum ini, namun mengambil keputusan untuk memulakan latihan secara serius dari sifar sejak pertengahan Mac tahun lalu.

“Latihan saya bermula dari kosong dan mengambil masa tepat 10 bulan. Saya berjaya menamatkan 10km dan rasa sangat gembira,” katanya, sambil menyifatkan pengalaman itu sebagai detik bermakna dalam hidupnya.

Baca juga:

Kent turut merakamkan penghargaan khas kepada Chow Yun Fat yang dianggapnya sebagai ‘sifu’ atau guru, kerana memberi bimbingan, pemantauan dan sokongan berterusan sepanjang tempoh latihan.

Beliau juga berterima kasih kepada rakan sepasukan yang sentiasa memberi kata semangat, selain menggalakkan orang ramai menetapkan matlamat hidup dengan berani mencuba perkara baharu dan berusaha mencapainya.

Pelakon yang terkenal menerusi watak Fei Mao dalam filem Why Me? serta drama Forrest Cat dan Forrest Cat II itu sebelum ini pernah berdepan khabar angin palsu mengenai kematiannya.

Susulan itu, Kent membuka akaun Douyin pada Oktober 2025 dengan kapsyen profil ringkas: “Jangan risau, saya masih hidup!”, sekali gus menepis spekulasi yang beredar.

Dalam satu video terdahulu, beliau turut mendedahkan telah menurunkan berat badan sebanyak 35 kilogram demi memulihkan kesihatan selepas berdepan pelbagai masalah termasuk diabetes.

Baca juga:

Sementara itu, Chow Yun Fat memberitahu media bahawa edisi maraton kali ini mencatatkan jumlah rakan larian paling ramai yang pernah menyertainya, termasuk pelakon Paw Hee Ching, 76, dan Lau Kong, 79.

Aktor berusia 70 tahun itu berkata beliau dan Paw Hee Ching telah berlari bersama selama enam tahun, sambil berseloroh bahawa usia keseluruhan kumpulan mereka mencecah “beberapa ratus tahun”.

Chow Yun Fat menamatkan larian dalam masa kira-kira dua jam dan menegaskan bahawa fokus utama bukanlah kemenangan, sebaliknya semangat untuk menyempurnakan cabaran bersama.

“Bukan soal keputusan, yang penting kita habiskan larian itu,” katanya.

Sumber: Asia One

Related Posts