Baru-baru ini tular satu rakaman video yang dimuat naik oleh seorang wanita, memaparkan sebuah premis kedai makan terkenal di Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands yang didakwa mengalami hakisan tanah serius.
Menerusi rakaman video dron berkenaan, wanita itu menjelaskan bahawa rakaman tersebut bukan bertujuan untuk menjejaskan perniagaan peniaga, sebaliknya dibuat atas kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengunjung.
“Tak ada niat nak tutup periuk nasi sesiapa. Memang bersyukur sangat Allah masih lindung masa tu. Kalau tahu memang dari awal tak akan berhenti kat situ. Tempat dah lawa, tapi korang rasa macam mana,” tulisnya.
Sementara itu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memaklumkan bahawa lokasi terbabit berada di luar seliaan atau rizab Jabatan Kerja Raya (JKR).
Susulan itu, JKR menasihatkan agar lokasi berkenaan ditutup daripada sebarang aktiviti bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Mohammad Nizar menjelaskan bahawa tindakan penutupan lokasi tersebut berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.
Baca juga:
- ‘Banyak perkara pelik berlaku di dunia, Malaysia juga tidak terkecuali’ – Tun M
- ‘Bukan kerana taksub’, Muqharabbin jelaskan bida tongkat Abdul Hadi
- Perdana Menteri Singapura galak rakyat pelajari Bahasa Melayu
Menurutnya, kawasan kedai makan berkenaan mempunyai Permit Penggunaan yang sah seluas 0.4 hektar bagi tujuan sewaan tapak kedai makan dan minum, berkuat kuasa dari 16 Mei hingga 31 Disember 2025.
Bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan, Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan mengeluarkan notis penutupan bermula 26 Disember 2025 selama tempoh sebulan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Sumber: TikTok yufara_, Sinar Harian








