Seramai 101 pekerja warga asing yang bekerja secara haram di sebuah restoran makanan Timur Tengah terkenal di Bukit Bintang ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur malam semalam.
Serbuan kira-kira jam 11.10 malam itu dilakukan selepas pihak JIM menerima aduan awam mengenai kehadiran ramai warga asing yang dipercayai bekerja tanpa pas atau dokumen sah di premis lima tingkat tersebut.
Baca juga:
- Lelaki warga emas cedera dipercayai digigit buaya ketika menjala udang
- Jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia di Makkah
- Insiden Platform Sepat: PETRONAS siasat punca kejadian
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata pemeriksaan mendapati sebahagian besar pekerja asing itu tidak mempunyai pas kerja yang sah untuk sektor restoran, walaupun ada yang memegang pas bagi sektor lain seperti pembinaan, runcit dan pencucian.
“Dalam operasi itu, kita periksa 117 individu. Hasilnya, 101 warga asing termasuk 86 warga Bangladesh, 12 warga Syria dan dua warga Indonesia ditahan kerana melanggar Akta Imigresen,” katanya.
Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang bertugas sebagai pengurus besar restoran tersebut.
Majikan akan didakwa
Kes disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/1963 atas kesalahan menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurut Wan Mohammed Saupee, tindakan tegas akan diambil terhadap majikan kerana menggaji pekerja asing secara haram, selain menjejaskan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Sumber: Harian Metro








