Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Enam bulan selepas insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, 18 keluarga yang terjejas akhirnya menerima rumah baharu mereka di Kampung Kuala Sungai Baru. Namun, di sebalik rasa syukur, ada yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap rumah yang diserahkan.
Terdahulu media melaporkan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata projek pemulihan yang dikendalikan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menelan kos RM4.85 juta menerusi Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara.
Pembinaan bermula pada 3 Jun lalu dan setakat akhir November, 15 rumah telah siap sepenuhnya, manakala tiga lagi menunggu proses dokumentasi pemilik.
‘Janji rumah RM300,000 tapi dapat RM75,000’?
Penduduk, Mohd Radzi Mohd Rashid, 43, berkata mereka pada awalnya dimaklumkan bakal menerima rumah baharu bernilai RM300,000 lengkap dengan perabot, namun hanya mendapat Rumah Mesra Rakyat bernilai RM75,000.
“Bila rumah siap, kami terkejut sebab tak seperti digambarkan. Bila tanya, katanya ikut prosedur. Kami hanya mampu reda,” ujarnya.
Baca juga:
- Pelajar UM maut kemalangan: Bapa rayu saksi kongsi video kejadian
- Mangsa kebakaran Putra Heights syukur terima rumah, tapi dakwa janji tak ditepati?
- Kru kabin AirAsia kini dibenarkan berhijab
Beliau juga mendakwa sebahagian penduduk masih belum menerima bantuan sewa rumah RM2,000 seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, pada April lalu.
“Meskipun disebut bayaran fasa kedua dan ketiga sudah diagih, ada yang belum dapat. Kami tanggung sendiri sewa dan kos baik pulih,” katanya.


Rumah lebih kecil, belum ada elektrik dan air
Bagi Zainuddin Abd Halim, 61, rumah baharu yang diterimanya hanya 1,200 kaki persegi, jauh lebih kecil berbanding rumah asal berkeluasan 3,200 kaki persegi. Katanya, rumah itu juga masih belum dilengkapi bekalan elektrik dan air, malah beberapa struktur seperti jeriji tidak seperti dijanjikan.
“Walaupun bersyukur, tetap ada rasa terkilan. Usaha saya selama 37 tahun musnah sekelip mata dan rumah baharu ini tidak menampung semua keperluan,” katanya dengan nada sebak.
Walaupun sebahagian penduduk reda dan berterima kasih atas bantuan kerajaan, isu janji asal, saiz rumah dan kelengkapan asas terus menjadi perbualan hangat dalam komuniti setempat.
Sumber: Bernama / Harian Metro









