Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas dihanyutkan arus deras bersama abangnya serta seorang rakan ketika cuba mengambil bola di dalam longkang besar di Taman Prima Saujana, Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa berusia 12 tahun itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi mereka dilaporkan terjatuh.
“Kanak-kanak lelaki itu ditemukan tidak sedarkan diri di Sungai Kantan dan diberikan bantuan kecemasan pada 7.47 malam sebelum dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut,” katanya.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 10.00 malam.
Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan bagi mengesan abang mangsa yang berusia 14 tahun.
Baca juga:
- Pelajar UM maut kemalangan: Bapa rayu saksi kongsi video kejadian
- Mangsa kebakaran Putra Heights syukur terima rumah, tapi dakwa janji tak ditepati?
- Kru kabin AirAsia kini dibenarkan berhijab
Dalam pada itu, menerusi satu hantaran di Thread, seorang mangsa yang terselamat memaklumkan bahawa ketika kejadian, hujan lebat berlaku di kawasan berkenaan. Ketika itu, dia cuba menyelamatkan kedua-dua adik beradik berkenaan, namun tidak berjaya.
“Saya tak boleh buat apa, dengan saya sekali hanyut. Ketika itu, saya hanya bergantung pada dahan pokok.
“Saya berpisah dengan kedua-dua beradik tu dekat lombong, betul-betul arus yang kuat selepas Prima Saujana,” katanya.
Memetik laporan Sinar Harian, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, radius pencarian adalah dalam lingkungan lima kilometer dari tempat mangsa terjatuh.
“Kaedah yang kami gunakan termasuk meranduk air. Kami telah membentuk tiga pasukan termasuk satu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA). Di kawasan mangsa pertama ditemukan tadi, kami turut dibantu oleh satu Unit Anjing Pengesan (K9) bomba,” katanya.








