Banjir Hatyai: Wanita kongsi pengalaman berjaya keluar dari kawasan terkandas | The Reporter

Banjir Hatyai: Wanita kongsi pengalaman berjaya keluar dari kawasan terkandas

Gambar yang merakamkan situasi banjir di Hatyai.
Gambar: Thread Anne Regina

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang wanita rakyat Malaysia berkongsi pengalaman mencemaskan apabila dia bersama tiga rakan terkandas selama beberapa hari di Hatyai susulan kejadian banjir yang melanda bandar itu. Menurut wanita tersebut, hotel tempat mereka menginap mengalami gangguan elektrik, bekalan makanan semakin terhad dan tiada sebarang bentuk pengangkutan yang dapat digunakan untuk keluar dari kawasan terjejas.

Dalam keadaan serba kekurangan itu, mereka akhirnya berjaya keluar selepas menyertai kumpulan 38 rakyat Malaysia lain menaiki sebuah lori sampah yang dijadikan pengangkutan kecemasan.

“Air paras peha sepanjang jalan ke border Padang Besar. Duduk atas lantai, berhimpit, doa je jangan ada apa-apa,” katanya.

Wanita itu turut berkongsikan tindakan yang perlu dibuat oleh rakyat Malaysia yang terperangkap dengan situasi di Hatyai. Katanya, rakyat Malaysia yang terkandas akan berkumpul di Central Hatyai yang secara tidak rasmi dijadikan pusat koordinasi oleh mereka sendiri bagi memastikan keselamatan semua.

Di lokasi itulah mereka mendapatkan maklumat, bantuan dan sokongan kerana ramai mangsa menyedari bahawa mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan atau kedutaan dalam keadaan kecemasan yang berlaku begitu pantas.

Baca juga:
Hubungi Kedutaan Malaysia

Dia juga mengingatkan sesiapa yang berada di Hatyai ketika banjir perlu mencari hotel yang masih mempunyai bekalan elektrik dan menghubungi Kedutaan Malaysia sekurang-kurangnya melalui WhatsApp untuk memaklumkan keberadaan masing-masing. Mangsa juga dinasihatkan agar tidak bimbang meninggalkan kenderaan kerana keselamatan diri jauh lebih penting daripada memikirkan soal kereta yang terperangkap dalam banjir.

Menurut perkongsian itu lagi, laluan menuju lapangan terbang pada waktu kejadian tidak boleh dilalui kenderaan biasa kerana ditenggelami air. Hanya trak tentera yang dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan, dan pergerakan trak dikawal sepenuhnya oleh pihak tentera Thailand. Wanita tersebut menyatakan bahawa jadual pergerakan trak tentera ke lapangan terbang biasanya bermula pada waktu pagi, diikuti jam 11 pagi dan satu lagi perjalanan pada jam 3 petang, namun mangsa perlu memastikan laluan dari hotel masing-masing boleh dilalui sebelum mendapatkan bantuan tentera.

Beliau turut berkongsi nombor telefon beberapa individu tempatan dan rakyat Malaysia yang banyak membantu mangsa keluar dari kawasan banjir. Wanita itu menyebut bahawa wang tunai amat penting dalam situasi sebegitu kerana banyak urusan tidak boleh dilakukan tanpa bayaran segera.

Terdahulu, Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla Dr Sitthipong Sitthiprapha berkata pihaknya dimaklumkan terdapat kira-kira 4,000 pelancong Malaysia terkandas di hotel-hotel sekitar Songkhla akibat jalan raya yang dinaiki air pada Sabtu.

Related Posts