Tular baru-baru ini video seorang graduan lelaki UiTM menimbulkan perhatian ramai apabila meminta Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, memandang kamera ketika pengurniaan ijazah pada salah satu sidang Istiadat Konvokesyen. Rakaman tersebut mendapat pelbagai reaksi di media sosial.
Susulan itu, pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memandang serius tindakan yang dilihat bertentangan dengan adab dan etika istiadat konvokesyen. Menurut kenyataan rasmi universiti, insiden itu sama sekali tidak mencerminkan nilai etika dan adab yang ditekankan kepada semua graduan.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
UiTM menjelaskan bahawa penekanan terhadap etika dan adab tinggi adalah sebahagian daripada proses pengurusan konvokesyen. Antaranya, graduan telah diberikan taklimat oleh Bahagian Pengurusan Rekod Pelajar dan Konvokesyen (BPRPK) semasa pengambilan jubah.
“Graduan diingatkan supaya mematuhi etika sepanjang istiadat berlangsung, bermula dari perarakan di luar dewan hingga pemulangan jubah kepada university,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, etika dan adab dalam istiadat merupakan cerminan perjalanan ilmu yang dilalui oleh graduan bersama pihak universiti. UiTM berharap agar semua pelajar yang akan menghadiri Istiadat Konvokesyen seterusnya mematuhi etika dan peraturan universiti yang telah ditetapkan.
Sumber: Harian Metro








