Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu tuntutan 40% hasil cukai Sabah perlu difahami secara menyeluruh sebelum mana-mana pihak membuat tuduhan bahawa kerajaan Persekutuan enggan memenuhi tuntutan negeri itu.
Menurutnya, walaupun hasil cukai yang dikutip daripada Sabah pada 2024 berjumlah kira-kira RM10 bilion, kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM17 bilion untuk negeri tersebut dalam bentuk kemudahan pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pembangunan.
“Hasil RM10 bilion, tetapi kita belanja RM17 bilion. Ini kerana kita kongsi untuk bangunkan negeri-negeri dalam Malaysia. Sabah ketinggalan sedikit, jadi kita bantu lebih,” katanya melalui video dimuat naik di Instagram semalam.
Perkongsian hasil bukan hanya soal angka 40%
Anwar berkata, ada pihak hanya menyebut angka “40%, 40%” tanpa memahami ia merujuk kepada pulangan berdasarkan kutipan hasil Persekutuan di Sabah.
Katanya, beliau tidak mempertahankan keputusan kerajaan terdahulu, tetapi mahu menjelaskan pendirian Kerajaan Madani yang menyalurkan lebih banyak daripada hasil yang dikutip demi pembangunan negeri.
Perbelanjaan persekutuan di Sabah antaranya merangkumi sektor pendidikan, perubatan, kehadiran doktor, keselamatan sempadan melalui ESSCOM, serta aspek pertahanan.
Baca juga:
- ‘Minta itu ini, tapi Belanjawan 2026 tak nak sokong’ — Ahmad Maslan malas nak jawab soalan pembangkang
- Papagomo ditahan bawah Akta Hasutan susulan hantaran di media sosial
- ‘Saya tak pernah tinggalkan UMNO, kamu yang pecat saya’ – KJ
Negeri lain juga dibantu, Kelantan, Perlis turut terima peruntukan besar
Menjelaskan konteks nasional, beliau menyebut bahawa negeri-negeri lain yang berpendapatan lebih rendah turut mendapat bantuan besar daripada kerajaan Persekutuan.
“Kelantan negeri miskin, banjir setiap tahun. Kita belanja berbilion. Perlis lagi jelas, hasil tak cukup, sampai gaji pegawai kerajaan pun Persekutuan kena bayar,” katanya.
Beliau menekankan bahawa Sabah masih lebih baik kerana kerajaan negeri mampu membayar gaji penjawatnya sendiri, berbanding Perlis yang perlu bergantung sepenuhnya kepada Putrajaya.
“Dulu beri kurang, sekarang beri lebih”
PM turut mempersoalkan sikap sesetengah tokoh politik yang mengkritik kerajaan sekarang mengenai isu 40%, sedangkan ketika mereka menerajui kerajaan persekutuan dahulu, jumlah disalurkan kepada Sabah jauh lebih rendah.
“Masa kamu Perdana Menteri, kenapa tak bagi lebih? Sekarang saya bagi lebih, kamu marah saya?” katanya.
Anwar menegaskan rakyat Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan pembangunan negara berjalan seiring.
“Kita nak angkat Sabah, angkat Malaysia,” katanya.











