Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa alasan kononnya peperiksaan melahirkan generasi ‘burung kakak tua’ adalah tidak munasabah dan menyifatkan peperiksaan tetap mempunyai peranan penting dalam sistem pendidikan negara.
Mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad yang tidak bersetuju pencapaian murid dinilai melalui peperiksaan semata-mata, Asyraf menegaskan bahawa peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sepatutnya dikembalikan bagi menilai penguasaan asas ilmu di peringkat awal.
“Kalau benar peperiksaan melahirkan generasi ‘burung kakak tua’, maka SPM juga patut dimansuhkan. Peperiksaan seperti UPSR penting untuk mengukur tahap penguasaan ilmu pelajar dan wajar dikembalikan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Baca juga:
- 21 maut dalam tragedi bot karam Rohingya, operasi SAR diteruskan
- ‘Kalau lahirkan generasi ‘burung kakak tua’….- Asyraf Wajdi
- Ahmad Maslan terima PHD pada usia 59 tahun
Menurutnya, peperiksaan bukan sekadar alat penilaian, tetapi juga membentuk nilai penting dalam diri pelajar seperti disiplin, tanggungjawab, daya saing, serta ketabahan menghadapi cabaran. Beliau turut menyenaraikan lima sebab utama mengapa UPSR perlu dikembalikan antaranya membantu pendidik dan pelajar menilai tahap penguasaan, membina disiplin, menjadi alat penyaringan ke sekolah berasrama penuh dan MRSM, memupuk semangat berusaha, serta mendidik erti sabar dan tawakal.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad dalam satu kenyataan mengatakan tidak bersetuju pencapaian murid kini dinilai menerusi peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu dibuat secara holistik dalam usaha melahirkan generasi bukan sahaja cemerlang atas kertas, tetapi juga bersahsiah tinggi.
Beliau tidak menolak sistem pendidikan negara cuma jelasnya akan melahirkan generasi burung kakaktua sekiranya cenderung bergantung kepada keputusan peperiksaan untuk menilai perkembangan seseorang murid.









