Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengesahkan bahawa beliau akan mengadakan lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam masa terdekat, sambil menegaskan hasratnya untuk mengekalkan hubungan baik dengan China.
Memetik laporan Kyodo News, Trump membuat kenyataan itu ketika berucap di White House semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, pada Isnin.
“Kita akan capai perjanjian yang adil. Saya mahu berbaik dengan China. Saya sayangkan hubungan saya dengan Presiden Xi,” kata Trump.
Beliau turut menambah bahawa Asia bakal menjadi lokasi penting untuk beberapa siri pertemuan akan datang.
“Kami fikir itu tempat yang baik untuk bertemu, dan kami akan bertemu. Saya akan berada di Malaysia, dan Jepun,” katanya seperti dipetik Kyodo News.
Baca juga:
- ‘Satu tangan pegang senjata, satu lagi hulur damai’ – Netanyahu tegas Israel lebih kuat dari sebelumnya
- Ratusan nelayan Indonesia kepung kapal Petronas Carigali, tuntut pampasan
- Netanyahu nekad bertanding lagi 2026, walaupun populariti semakin merosot
Menurut laporan itu lagi, ini merupakan kali pertama Trump secara terbuka menyebut mengenai rancangannya untuk melawat Malaysia dan Jepun sejak memulakan penggal keduanya pada Januari lalu.
Sumber kerajaan Jepun memaklumkan bahawa Trump dijangka mengadakan lawatan tiga hari ke Jepun bermula 27 Oktober, selepas menghadiri sidang serantau di Malaysia yang melibatkan negara-negara ASEAN dan rakan-rakan dialognya.
Selepas itu, beliau dijangka ke Korea Selatan bagi mengadakan pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping, sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) hujung bulan ini.
Lawatan ke Asia kali ini akan menjadi kunjungan pertama Trump ke rantau berkenaan sejak beliau kembali menerajui Rumah Putih pada awal tahun ini.