45 Penduduk Gaza terbunuh dalam serangan udara Israel | The Reporter

45 Penduduk Gaza terbunuh dalam serangan udara Israel

Serangan udara Israel yang menyebabkan sekurang-kurangnya 45 penduduk terbunuh.
Gambar: Tangkap layar video tular.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Suasana pilu kembali menyelubungi Gaza apabila sekurang-kurangnya 45 penduduk terbunuh dalam siri serangan udara Israel di seluruh wilayah berkenaan pada Ahad, menurut Pertahanan Awam Gaza dan beberapa hospital tempatan.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata angka korban tersebut meningkat daripada laporan awal seramai 33 orang.

“Sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh akibat serangan udara Israel di pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza,” katanya.

Empat hospital di Gaza turut mengesahkan angka korban itu, memaklumkan bahawa mereka menerima puluhan mayat dan mangsa cedera parah sejak malam Sabtu hingga awal pagi Ahad.

Menurut Bassal, serangan berterusan itu menyasarkan kawasan kediaman padat, menyebabkan banyak rumah musnah sepenuhnya. Pasukan penyelamat kini bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan.

Baca juga:
Dakwa langgar perjanjian

Sementara itu, menerusi laporan The Times of Israel, IDF mendakwa pejuang bersenjata Hamas menyerang tenteranya berhampiran kawasan sempadan, tindakan yang dianggap “pelanggaran jelas” terhadap perjanjian gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa.

Susulan insiden itu, Israel melancarkan semula serangan udara berskala kecil di kawasan Rafah dan beberapa lokasi berhampiran. Reuters turut melaporkan bahawa dua anggota tentera Israel dilaporkan terkorban dalam serangan tersebut, manakala Hamas belum mengeluarkan kenyataan balas rasmi.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, dilaporkan menggesa kerajaan supaya menilai semula gencatan senjata dan mempertimbangkan untuk meneruskan operasi ketenteraan di Gaza, dengan alasan keselamatan negara perlu diutamakan.

Sumber: Arab News

Related Posts