Anwar kesal digelar ‘Perdana Menteri Telefon’ | The Reporter

Anwar kesal digelar ‘Perdana Menteri Telefon’

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berbual melalui panggilan telefon dengan pemimpin Pakistan dan Afghanistan mengenai usaha damai serantau.
Anwar kesal pembangkang gelar beliau ‘Perdana Menteri Telefon’, sedangkan panggilan diplomatik itu bantu usaha damai antara Pakistan dan Afghanistan. | Sumber gambar: Pejabat Perdana Menteri / Facebook Anwar Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang memperlekeh usaha beliau menghubungi pemimpin dunia melalui perbualan telefon, langkah yang digelar sinis sebagai “Perdana Menteri Telefon”.

Menurut Anwar, tindakan itu sebenarnya sebahagian daripada inisiatif diplomasi senyap Malaysia untuk membantu meredakan konflik di rantau Asia Tenggara dan dunia Islam.

Beliau berkata, antara hasil usaha itu termasuk peranan Malaysia dalam mendamaikan ketegangan antara Kemboja dan Thailand.

“Dengan telefon itulah kita bantu damaikan Kemboja dengan Thailand. Dengan telefon itulah kita menyertai usaha-usaha orang lain,” katanya memetik laporan Harian Metro, Ahad, 19 Oktober 2025.

Baca juga:

Usaha damai Pakistan-Afghanistan, peranan Malaysia diiktiraf

Anwar turut mendedahkan, kerajaan Qatar sendiri menghubunginya untuk membantu meredakan konflik antara Pakistan dan Afghanistan. Katanya, Malaysia diminta memainkan peranan menasihati kedua-dua pihak agar mencari jalan damai dalam rundingan di Doha.

“Oleh kerana kita ada hubungan baik dengan Pakistan dan Afghanistan, kita diminta untuk menggesa dua-dua negara ini mencari jalan damai. Kita hanya berbicara, menggesa mereka dan Alhamdulillah mereka kini berunding,” ujarnya.

Beliau menegaskan, penghormatan yang diterima Malaysia itu membuktikan bahawa walaupun negara kecil, suara Malaysia tetap dihargai dalam arena antarabangsa.

Sumber: Harian Metro

Related Posts