Hari sukan sekolah bertukar tragedi, murid maut terjatuh dalam saluran kumbahan | The Reporter

Hari sukan sekolah bertukar tragedi, murid maut terjatuh dalam saluran kumbahan

Beberapa individu sedang cuba menyelamatkan mangsa yang terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sekolah, bersebelahan dengan imej penutup lubang kumbahan terbuka.
Insiden tragis di Lenggeng, seorang murid maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sekolah ketika program sukan berlangsung. | Kredit gambar: Orang Awam

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang murid lelaki berusia sembilan tahun maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di sebuah sekolah rendah di Lenggeng, Negeri Sembilan, pagi Sabtu. Insiden menyayat hati itu berlaku sekitar jam 9 pagi ketika sekolah berkenaan menganjurkan kejohanan sukan olahraga.

Mangsa yang juga anak kepada Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, dipercayai terjatuh selepas memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin, beliau bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan tentang kejadian.

“Pada mulanya memang tidak nampak apa-apa, hanya selepas turun ke bawah barulah terlihat topi dan kasut sekolah terapung,” katanya.

Seorang penduduk kemudian menyelam ke dasar untuk membawa mangsa naik semula. Mangsa dipercayai berada hampir 10 minit di dalam saluran itu sebelum berjaya diselamatkan. Walaupun CPR diberikan hampir 30 minit, mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Baca juga:

Siasatan dan tindakan susulan

Mohd Asna memaklumkan, bangunan sekolah tersebut baru dirasmikan tahun lalu dan sepatutnya telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CF). Beliau menegaskan akan menunggu laporan lengkap sebelum tindakan lanjut diambil.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad pula mengesahkan kes disiasat sebagai kemalangan tanpa sebarang unsur jenayah. Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Rembau untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan menghubungi IPD Nilai sekiranya mempunyai maklumat lanjut.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts