MYDIN Prihatin bantu ringankan beban perbelanjaan Sathiya | The Reporter

MYDIN Prihatin bantu ringankan beban perbelanjaan Sathiya

Datuk Ameer Ali Mydin umum MYDIN Prihatin bantu ringankan beban perbelanjaan Sathiya menjelang Deepavali.
Gambar: Facebook Datuk Ameer Ali Mydin

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin meluahkan rasa sedih dan simpati atas musibah yang menimpa pelakon dan pelawak terkenal, Sathiya, 61, yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampang.

Menurut Ameer Ali, beliau menganggap Sathiya sebagai seorang kenalan baik yang sentiasa menghiburkan ramai orang, justeru perkhabaran mengenai keadaan kesihatannya amat menyentuh hati, apatah lagi ketika perayaan Deepavali semakin hampir.

“Sedih menerima perkhabaran duka bahawa pelawak dan pelakon Sathiya, yang saya anggap sebagai seorang kenalan baik dan sentiasa menghiburkan, sedang ditimpa musibah, apatah lagi ketika beliau bakal menyambut perayaan Deepavali tidak lama lagi.

“Insya-Allah, MYDIN menerusi inisiatif MYDIN Prihatin akan berusaha membantu meringankan beban perbelanjaan beliau. Saya turut mendoakan agar beliau sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan berpanjangan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Baca juga:
Keadaan Sathiya di hospital.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan bahawa Sathiya terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kiri hingga ke paras lutut, Jumaat lalu.

Anak beliau, Amani, memaklumkan bahawa pembedahan itu perlu dilakukan selepas doktor mendapati saraf darah di kaki sudah tidak berfungsi dan keadaannya semakin membengkak.

“Ayah sudah menjalani pembedahan memotong kaki, Jumaat lalu. Sebenarnya, kami datang hanya untuk rawatan cuci luka saja, tetapi doktor beritahu kaki ayah sudah bengkak dan saraf darah tidak lagi berfungsi di bahagian itu. Ayah dimasukkan ke hospital Rabu lalu dan hari Jumaat kaki kirinya terpaksa dipotong,” jelasnya.

Difahamkan, Sathiya juga sudah lama menghidap penyakit kencing manis sejak lebih sedekad lalu dan kini masih dalam pemantauan rapi pihak hospital.

Related Posts