Farm Fresh tembus pasaran Cambodia | The Reporter

Farm Fresh tembus pasaran Cambodia

Produk susu Farm Fresh dipamerkan di rak pasar raya di Cambodia.
Gambar: Facebook Azmi Zainal.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ketua Pengarah Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal, memaklumkan bahawa syarikat tenusu tempatan itu kini mula membekalkan produk susu segar ke Cambodia selepas negara tersebut berdepan krisis bekalan susulan sekatan terhadap produk dari Thailand.

Menurut beliau, langkah segera itu tercetus hasil inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN yang mencadangkan agar Farm Fresh menyalurkan bekalan susu segar ke negara berkenaan.

“Alhamdulillah, Aeon menjadi pasar raya pertama yang mengeluarkan pesanan pembelian kepada Farm Fresh atas dasar keyakinan serta hubungan niaga yang sudah lama terjalin bersama kami. Kini susu pasteurise Farm Fresh, Aus Fresh dan yogurt mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat Cambodia.

“Tidak sampai seminggu berada di pasaran, produk kami habis dijual. Malah, kafe dan hotel di Cambodia juga sudah mula meminta bekalan daripada Farm Fresh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca juga:

Azmi berkata, dengan kejayaan itu, Cambodia menjadi negara ASEAN keempat selepas Singapura, Brunei dan Filipina yang menerima eksport produk Farm Fresh.

“Dulu ada yang mengatakan mustahil Malaysia mampu menjadi pengeksport produk tenusu kerana faktor cuaca. Namun bagi kami, ia bukan soal cuaca, tetapi siapa yang melakukannya. Alhamdulillah, kami berjaya membuktikannya,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atas sokongan dalam menjayakan usaha tersebut.

Related Posts