Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang Wanita berkongsi pengalaman cemas apabila hampir kehilangan anak kecilnya ketika singgah di Plaza Padang Besar. Peristiwa yang berlaku dalam sekelip mata itu benar-benar menguji ketenangan dirinya, dan kini menjadi peringatan buat semua ibu bapa agar lebih berwaspada ketika berada di kawasan tumpuan ramai.
Menurut wanita tersebut, ketika kejadian, dia berada di kaunter tandas dan sempat memerhatikan anak kecilnya yang melangkah ke hadapan. Suasana pada waktu itu sangat sibuk dengan orang ramai berpusu-pusu, ada yang sedang membeli-belah dan ada juga yang duduk menunggu di hadapan tandas.
Ketika dia sedang mengeluarkan syiling untuk membayar, pandangannya masih sesekali terarah kepada anak yang sedang leka ‘berjoget’. Namun, dalam sekelip mata, seorang wanita tiba-tiba datang dan meraih tangan anaknya sebelum bergerak pantas seolah-olah mahu membawa kanak-kanak itu pergi. Si kecil pula, yang menyangka dirinya dipimpin ibunya, hampir mengikut langkah wanita tersebut tanpa menoleh ke belakang.
Jerit nama anak
Namun naluri seorang ibu segera bertindak. Dengan suara tegas, dia menjerit nama anaknya sehingga kanak-kanak itu terkejut lalu berpaling ke arahnya. Orang ramai yang berada di kawasan itu turut menoleh, membuatkan wanita yang cuba membawa anaknya melepaskan tangan dan berpura-pura tersalah orang. Walaupun lega anaknya selamat, ibu berkenaan mengakui hatinya berdebar dan menyesal kerana tidak bertindak lebih tegas terhadap wanita terbabit.
“Tindakan reflex aku, terus jerit nama anak dengan nada tegas, lantas anak aku terkejut dan toleh ke aku. Orang keliling pun beramai-ramai tengok muka aku. Dan si perempuan tu lepaskan tangan anak aku sambil angkat tangan, yang kononnya signal dia tersilap orang,” katanya.

Baca juga:
- Langkawi tak semeriah dulu, pelancong lebih memilih Terengganu dan Hatyai?
- Wanita bengang, ibu jadi mangsa sampah dibuang dari tingkat atas PPR
- Wanita kongsi detik cemas, insiden di Plaza Padang Besar
Dalam perkongsiannya, dia sempat menggambarkan susuk individu berkenaan yang berusia sekitar 30-an, berkulit sawo matang dan bertubuh sederhana. Dia tidak pasti sama ada wanita itu warga tempatan atau sebaliknya, namun yakin niatnya bukan sekadar tersalah orang.
Lebih menakutkan, katanya, anaknya yang berusia tiga tahun masih ringan dan mudah untuk didukung, dan sekiranya anak itu menangis, mungkin orang ramai akan menyangka ia sekadar tantrum biasa.
Syukur anak selamat
Walaupun pengalaman itu amat mencemaskan, ibu berkenaan menzahirkan rasa syukur kerana Allah masih melindungi keluarganya. Dia mengakui peristiwa tersebut benar-benar membuka mata dan menjadi pengajaran paling besar dalam hidupnya. Katanya, jika dia leka beberapa saat lagi, mungkin anaknya sudah hilang dari pandangan. Dia turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga, khususnya ketika berada di tempat awam yang sesak seperti plaza sempadan atau pasar.
“Teguran Allah untuk aku. Alhamdulilah, Allah masih lindung anak-anak aku. Tak dapat bayangkan kalau ralit beli barang, tiba-tiba anak aku tak ada kat sebelah. Nauzubillah, a very lesson learn to me, and caution story to all of you. Be alert,” katanya.