Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan kerajaan semasa mempunyai kuasa penuh untuk membatalkan keputusan pentadbiran terdahulu berkaitan pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Beliau menyifatkan isu itu bukan perkara baharu kerana prosesnya telah bermula sejak 2021 ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN), namun tanggungjawab membetulkan keadaan tetap terletak pada kerajaan sekarang. Laporan MalaysiaKini turut memetik kenyataannya bahawa kuasa untuk membatalkan kelulusan lama masih ada di tangan pentadbiran hari ini.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Kuasa batal ada di tangan kerajaan semasa
“Ini isu lama yang bukan baru berlaku. Kerajaan sebelum ini, kalaupun dia luluskan, kerajaan yang sekarang ada kuasa batal. Kalau kita tak setuju dengan perkara sebelum ini, kita boleh perbetulkan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan tergesa-gesa merobohkan rumah penduduk walaupun rayuan masih berlangsung di Mahkamah Rayuan. Menurutnya, lebih wajar kerajaan dan pemaju menunggu keputusan mahkamah sebelum meneruskan operasi perobohan.
“Sekarang mereka tengah merayu di Mahkamah Rayuan, tiba-tiba rumah mereka dirobohkan. Bagaimana kalau mahkamah menerima rayuan mereka, rumah sudah habis? Itu permintaan penduduk dan ia sebahagian daripada hak perundangan mereka,” ujarnya.
Peguam desak tangguh pengosongan
Sebelum ini, peguam yang mewakili penduduk, N Surendran, menggesa kerajaan menangguhkan operasi pengosongan sementara menunggu sesi rundingan bersama. Beliau turut mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, yang didakwa cuba melepaskan tanggungjawab kerajaan dengan menyalahkan mahkamah.
“Bukan mahkamah yang merampas secara paksa harta penduduk, tetapi kerajaan melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 demi kepentingan pemaju,” katanya seperti dipetik MalaysiaKini.
Rayuan kes tersebut dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober depan dan penduduk berharap rumah mereka tidak dirobohkan sebelum keputusan muktamad diumumkan.








