Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan semasa operasi pemotongan bekalan elektrik di beberapa rumah sekitar Kampung Sungai Baru, hari ini.
Suzilme cedera selepas terkena balingan batu ketika mengawal operasi pemotongan bekalan elektrik di beberapa rumah. Beliau dilihat mengalami luka berdarah di bahagian muka ketika suasana menjadi kecoh akibat rempuhan penduduk yang mahu memasuki kawasan operasi.
Memetik laporan Kosmo, keadaan menjadi kecoh seketika apabila beberapa penduduk cuba melakukan provokasi, malah ada yang enggan keluar sehingga arahan pecah pintu terpaksa dikeluarkan.
Baca juga:
- Guna aplikasi navigasi, lima warga China cedera kereta terjunam ke gaung di Machang
- Dari LRT2 ke LRT3, legasi seorang bapa diteruskan anak
- Isu tular laluan pejalan kaki LRT3: MBSA tampil beri penjelasan
Difahamkan, operasi pengusiran itu diketuai oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan. Tindakan berkenaan diambil berasaskan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan tersebut.
Ini merupakan kali kedua operasi pengusiran dilaksanakan selepas cubaan pertama pada 16 Julai lalu gagal mengeluarkan 14 keluarga yang enggan berpindah.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru oleh KLCG sebelum ini mendapat tentangan sebahagian penduduk walaupun majoriti sudah menerima tawaran pampasan.








