Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahasa kebangsaan mesti menjadi pegangan utama seluruh rakyat dan beliau tidak dapat menerima hakikat jika ada rakyat Malaysia yang gagal menguasainya.
“Kita mesti tonjolkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Saya tidak terima rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu,” katanya dalam ucapan di Majlis Makan Malam Jubli Emas ke-50 Ambank Group di Kuala Lumpur pada Selasa.
Inggeris sebagai keperluan kritikal
Bagaimanapun, Anwar menegaskan penguasaan bahasa Inggeris tidak boleh diabaikan kerana ia amat penting untuk Malaysia bersaing di pentas antarabangsa.
“Pada masa sama, tahap penguasaan bahasa Inggeris terlalu kritikal, sangat penting untuk negara ini,” katanya sambil menambah Kementerian Pendidikan perlu melipatgandakan usaha meningkatkan tahap bahasa itu di universiti, tanpa menjejaskan kedudukan bahasa Melayu.
Baca juga:
- GSF 2.0: Tiga delegasi Malaysia kembali ke tanah air selepas kapal rosak
- Kanak-kanak 10 tahun dikhuatiri lemas, jatuh longkang ketika hujan lebat
- Pemandu van sekolah lawan arus ditahan, kenderaan disita
Bahasa lain jangan dipinggirkan
Sementara itu, bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan Perancis juga perlu digalakkan penggunaannya sebagai langkah meraikan kepelbagaian budaya dan keilmuan.
“Kalau kita benar percaya bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum, maka tidak ada alasan untuk meminggirkan usaha meningkatkan penguasaan bahasa lain. Itu sepatutnya jadi sikap kita,” jelasnya.
Tolak politik perkauman
Anwar turut memberi peringatan supaya rakyat tidak membiarkan isu perkauman dan sentimen agama dimainkan segelintir pihak untuk kepentingan sendiri.
“Kita tidak boleh benarkan minoriti yang terdesak menggunakan isu perkauman atau sentimen agama untuk menentukan hala tuju negara. Malaysia hanya akan berjaya jika setiap warganya iaitu Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan lain-lain merasakan mereka dilindungi dan dihargai,” katanya.
Beliau menegaskan dasar keterangkuman perlu menjadi asas pembangunan negara agar setiap kaum mendapat tempat dan dihargai.
Sumber: Astro Awani








