Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Program Himpunan RXZ Members 7.0 telah melabuhkan tirainya pada Ahad lalu dengan meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis buat peminat sukan permotoran yang hadir di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu.
Di media sosial, beberapa rakaman video tular memaparkan kegembiraan peserta program berkenaan apabila berpeluang berkumpul bersama rakan sehobi.
Namun, di sebalik kemeriahan itu, terselit kisah seorang lelaki yang hanya mampu merakam gelagat peserta dari jauh. Video yang dimuat naik isterinya itu meraih perhatian apabila si suami dilihat begitu teruja merakam suasana, meskipun tidak berpeluang menyertai.
“Gini la dia, tengok rakam, tengok rakam. Semoga murah rezeki dan tercapai semua hajat suami. Insya-Allah, kalau ada rezeki tak ke mana,” tulis isterinya dalam video berkenaan.
Baca juga:
- Lagu Sejahtera Malaysia nyanyian pelbagai kaum buat ramai tersentuh
- Tular kucing ‘pencuri selipar’, Oyen kini jadi duta jenama terkenal
- ’15 anak unta buat cucu’, Gelagat Atuk bawa pulang ole-ole dari Mekah curi tumpuan
Menariknya, ruangan komen turut dipenuhi pelbagai luahan netizen yang berkongsi kisah hampir sama, termasuk pengorbanan besar demi keluarga.
“Saya pun macam ni dulu kak. Bila dah ada RXZ, saya pula jual untuk halalkan isteri. Tapi takdir kata lain, isteri saya pergi selamanya waktu Covid di MAEPS tanpa saya di sisi. Sampai sekarang saya dah tak buka hati untuk mana-mana perempuan, kecuali ada yang ikhlas nak jaga saya dengan anak saya, Mawar Malika, 3 tahun. Semoga anak papa membesar dengan kebahagiaan yang kita ciptakan sendiri dan faham papa sayang adik dengan ibu sampai bila-bila,” kongsi seorang pengguna.
Satu lagi komen di hantaran berkenaan mencuit perasaan netizen.
“Hobi suami saya adalah permotoran. Tapi disebabkan dia nak menghalalkan saya, dia sanggup jual motor idaman yang dia impikan sejak kecil semata-mata untuk halalkan saya masa itu. Saya tak minta banyak, cuma minta yang baca komen saya ini doakan semoga urusan kami dipermudahkan selalu dan rezeki kami semakin terbuka luas daripada sebelumnya. Jasa dia tak terbalas,” katanya.
Komen-komen tersebut nyata menyentuh hati ramai, sekaligus membuktikan bahawa di sebalik hobi permotoran, ada kisah pengorbanan, cinta dan nilai sentimental yang besar bagi peminatnya.