Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelajar kolej yang ditemui tergantung pada kipas siling di ruang tamu rumah keluarganya di USJ 2/1, Subang Jaya, disahkan dibunuh. Bedah siasat mendedahkan mangsa sebenarnya dicekik sehingga mengalami pendarahan pada bahagian leher, sekali gus menolak kemungkinan bunuh diri.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata kecederaan yang dikesan pada otot dan tulang mangsa menunjukkan tanda-tanda dicekik menggunakan tangan. Hasil forensik itu mendorong polis membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Baca juga:
- Tak puas hati kerja pembersihan stor senjata punca anggota tentera dipukul
- ‘Kematian Zara Qairina paling konsisten dengan tindakan mengakhiri nyawa sendiri’ – Pakar
- Sin Sing Coffee tepis dakwaan terkait isu peralatan tidak halal
Bapa mangsa jumpa mayat tergantung di ruang tamu
Kejadian tragik itu disedari bapa mangsa sendiri apabila dia pulang ke rumah dan mendapati anak perempuannya dalam keadaan tergantung pada kipas siling di tingkat dua kediaman mereka. Panggilan kecemasan dibuat sekitar jam 11.55 pagi, Khamis lalu, sebelum pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Namun siasatan lanjut membawa kepada penemuan yang lebih mengejutkan iaitu tanda-tanda paksaan fizikal jelas kelihatan dan ia bukan kes bunuh diri seperti yang disangka pada awalnya.
Polis minta kerjasama awam, jangan buat spekulasi
Menurut Wan Azlan, siasatan kini giat dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan pihak yang terlibat. Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi di media sosial yang boleh mengganggu proses siasatan.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-2786 27100 atau Pegawai Penyiasat, ASP Zainol Aazizi Abu Bakar di 013-322 7632.
Sumber: Sinar Harian








