Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
United Kingdom pernah menjalankan satu kajian unik di sebuah sekolah menengah yang mengubah waktu mula sesi persekolahan daripada 8.50 pagi kepada 10.00 pagi. Langkah itu diambil selepas kajian saintifik mendapati remaja memerlukan waktu tidur yang lebih panjang kerana jam biologi (circadian rhythm) mereka berbeza daripada orang dewasa.
Hasilnya mengejutkan. Selepas dua tahun pelaksanaan, kadar ketidakhadiran kerana sakit menurun lebih 50 peratus. Keputusan peperiksaan pula meningkat sekitar 12 peratus berbanding sebelum perubahan dibuat.
Menurut penyelidik, pelajar yang tidur dan bangun selaras dengan jam biologi lebih fokus di kelas, kurang mengantuk dan lebih bersemangat untuk belajar.
Kajian ini menggunakan model A–B–A. Tahun pertama waktu masuk 8.50 pagi, dua tahun berikutnya 10.00 pagi, dan kembali semula ke 8.50 pagi pada tahun ketiga. Apabila kembali ke jadual lama, prestasi akademik dan tahap kesihatan pelajar merosot semula, mengukuhkan dapatan bahawa waktu mula lebih lewat memberi kesan positif.
- Saintis Jepun menang anugerah Ig Nobel dengan kajian cat lembu bercorak zebra
- ‘Otak kanak-kanak jadi mangsa konflik keluarga sama seperti veteran perang’ – Kajian
- Pakar Oxford beri amaran, manusia akan pupus dalam 25 tahun lagi
Malaysia pernah cadang mulakan 8 pagi
Di Malaysia, tiada dasar rasmi untuk mengubah waktu masuk sekolah kepada 10 pagi seperti di UK. Namun, cadangan memulakan sesi pagi pada jam 8.00 pagi pernah dikemukakan pakar pendidikan. Alasannya hampir sama, iaitu memberi ruang pelajar bersiap dengan lebih tenang, mengurangkan risiko keluar rumah dalam keadaan gelap dan membantu kualiti tidur.
Cadangan itu bagaimanapun menerima reaksi bercampur-baur. Ada yang menyokong demi kesihatan dan keselamatan pelajar, tetapi ada juga yang bimbang ia menambah kesesakan jalan raya dan mengganggu jadual sekolah dua sesi.
Ironinya, cadangan “sekolah sepenuh hari” dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang pula mendapat sokongan lebih besar kerana dilihat memberi nilai tambah dari segi pembelajaran dan keselamatan anak di sekolah.
Sumber: Changing school start times: impact on health and academic performance