'Ini soal selamatkan periuk nasi rakyat, bukan soal happy' – Zafrul balas Tun Mahathir | The Reporter

‘Ini soal selamatkan periuk nasi rakyat, bukan soal happy’ – Zafrul balas Tun Mahathir

Gambar menunjukkan Tengku Zafrul bercakap kepada media manakala Tun Mahathir sedang menulis di meja pejabatnya.
“Ini bukan soal happy, Tun. Tapi soal tanggungjawab menyelamatkan periuk nasi rakyat” – Zafrul balas kritikan Tun Mahathir.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan membuat perjanjian yang merugikan dengan Amerika Syarikat (AS).

Beliau menjelaskan rundingan bersama AS bukan soal “gembira” seperti disindir Tun Mahathir, tetapi merupakan keputusan strategik untuk melindungi ekonomi negara. Jika Malaysia tidak bertindak, lebih RM198 bilion nilai eksport terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik serta lebih 100,000 pekerjaan mungkin terjejas akibat tarif import AS sebanyak 25 peratus.

“Ini bukan soal happy, Tun. Tapi soal tanggungjawab menyelamatkan periuk nasi rakyat,” kata Zafrul menerusi kenyataan di Facebook.

Dalam rundingan itu, Malaysia berjaya mendapatkan kadar tarif lebih rendah iaitu 19 peratus, selaras dengan kadar yang dinikmati negara-negara ASEAN lain.

Baca juga:

Tuduhan cukai 11,000 produk AS dimansuh 100 peratus disangkal

Zafrul turut menolak dakwaan bahawa Malaysia menghapuskan semua cukai ke atas 11,000 produk dari AS. Menurutnya, hanya 60.4 peratus daripada baris tarif sahaja yang kini dikenakan duti sifar, bukan 100 peratus seperti didakwa.

“60 peratus itu lebih sedikit daripada separuh, bukan semua. Tuduhan Tun tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat,” katanya.

Beliau menjelaska keputusan kerajaan bukanlah menggadai cukai, sebaliknya satu pertukaran yang wajar demi menyelamatkan eksport besar-besaran dan kestabilan ekonomi keseluruhan termasuk pasaran kewangan dan pelaburan asing.

Tiada perjanjian bekal nadir bumi mentah ke AS

Zafrul juga menyangkal dakwaan bahawa Malaysia bersetuju membekalkan nadir bumi mentah kepada Amerika. Beliau menegaskan tiada sebarang perjanjian sama ada secara lisan atau bertulis yang melibatkan komitmen untuk mengeksport nadir bumi secara eksklusif kepada mana-mana negara.

Sebaliknya, mulai 1 Januari 2024, Malaysia telah melaksanakan larangan eksport bahan nadir bumi mentah (NR-REE). Dasar ini ditetapkan oleh Jemaah Menteri dan tertakluk kepada pemantauan ketat serta semakan setiap enam bulan.

Tujuannya adalah untuk memastikan semua nadir bumi diproses dalam negara sebelum dieksport supaya negara dapat menjana lebih banyak nilai ekonomi dan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Beliau memaklumkan bahawa kerajaan kini sedang membangunkan keseluruhan ekosistem industri nadir bumi dari perlombongan, pemprosesan hingga ke pengeluaran produk berasaskan teknologi tinggi. Industri ini dijangka menyumbang sehingga RM9.5 bilion kepada KDNK menjelang tahun 2025.

“Kritik boleh, tapi jangan sebarkan maklumat palsu”

Zafrul mengingatkan kritikan terhadap kerajaan adalah dibenarkan dalam sistem demokrasi. Namun katanya, ia mesti dibuat secara bertanggungjawab dan berasaskan fakta.

“Tak salah untuk mengkritik. Tapi bila kritikan itu berlandaskan tuduhan palsu, itu salah,” tegas beliau.

Sumber: Facebook Tengku Zafrul

Related Posts