Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa (DAP), memaklumkan bahawa pekerja yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson baru-baru ini merupakan seorang individu orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata demikian ketika mencelah dalam sesi Persidangan Kedua Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15, dan berharap agar isu berkenaan tidak lagi diperbesarkan.
“Mohon mencelah sedikit, saya sendiri turun ke lokasi pada hari kejadian kerana saya menyelaras program antara ahli Lembaga Pengelola, PIBG serta pihak sekolah.
“Insiden ini berlaku apabila melibatkan seorang pekerja OKU akal (mental) untuk memasang bendera di kawasan sekolah. Pekerja tersebut menggunakan bendera lama dan secara tidak sengaja memasangnya dalam keadaan terbalik.
“Namun, selepas dimaklumkan oleh orang awam, bendera berkenaan diturunkan dalam tempoh dua jam,” katanya.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Tambah Ken Hwa lagi, kesilapan tersebut bukanlah disengajakan dan berharap agar perkara itu tidak terus disensasikan.
“Saya anggap ini sebagai kesilapan kecil yang boleh dimaafkan. Datuk Yang Dipertua, saya berharap isu ini tidak lagi diviralkan kerana saya sendiri telah turun padang menyelesaikannya,” katanya.
Terdahulu, tular satu kenyataan pihak sekolah yang membuat permohonan maaf terbuka kepada seluruh masyarakat atas kesilapan yang tidak disengajakan. Dalam kenyataan itu turut dimaklumkan bahawa bendera berkenaan telah dibetulkan pada hari yang sama.
Sumber: Sinar Harian








