Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mencadangkan agar umur tamat persekolahan ditetapkan pada 16 tahun bagi membolehkan belia menyertai dunia pekerjaan lebih awal.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, pendekatan ini penting memandangkan Malaysia kini menuju ke arah negara menua.
“Sekolah mesti berakhir lebih awal pada umur 16 tahun… kerana satu, kita negara menua. Keduanya, supaya anak-anak kita dapat mula menyertai sektor pekerjaan dengan lebih awal pada umur 21 tahun,” katanya dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas intipati RMK13 yang dilihat kurang menonjolkan aspek ekonomi dan projek pembangunan seperti sebelum ini, Rafizi menjelaskan bahawa tumpuan itu telah diberikan dalam tempoh dua tahun terdahulu iaitu 2023 dan 2024.
Sebaliknya, RMK13 memberi fokus kepada pembaharuan dalam sektor pendidikan, termasuk penyediaan perkhidmatan prasekolah secara universal untuk kanak-kanak seawal lima tahun.
“Sebenarnya ini diperlukan kerana mengambil kira ‘garbage in garbage out’ kalau kanak-kanak tidak dididik dengan baik pada umur yang potensi perkembangan mereka baik iaitu antara lima hingga sembilan tahun.
“Bila mereka masuk Darjah Satu dan Darjah Lima, buatlah macam mana pun, mereka telah pun ketinggalan,” katanya.
Baca juga:
- Tak puas hati kerja pembersihan stor senjata punca anggota tentera dipukul
- ‘Kematian Zara Qairina paling konsisten dengan tindakan mengakhiri nyawa sendiri’ – Pakar
- Sin Sing Coffee tepis dakwaan terkait isu peralatan tidak halal
Komitmen Pendidikan Prasekolah Universal
Rafizi turut menegaskan pentingnya pelaburan awal dalam pendidikan kanak-kanak, bukan hanya tertumpu kepada peringkat menengah atau universiti seperti amalan sedia ada.
“Negara-negara lain menghabiskan sumber semasa pendidikan awal, bukan masa universiti, Tingkatan 1 dan sebagainya.
“Sebab itu, kalau tengok dalam RMK13, kita tak letak angka pun – berapa bilion dan sebagainya. Tetapi komitmen untuk menyediakan pendidikan prasekolah secara universal.
“Bermakna sesiapa pun jadi kerajaan selepas ini, mesti membuat keutamaan untuk memastikan sekolah seluruh negara dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun mesti mampu memberikan perkhidmatan prasekolah universal kepada semua,” katanya.
Sumber: Fahmy A Rosli Berita Harian








