Petugas dihargai, rakyat diseru terus berdialog secara aman
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas pasukan keselamatan termasuk polis, bomba, pasukan perubatan dan sukarelawan yang telah bertugas dengan penuh dedikasi dan ketangkasan semasa perhimpunan ‘Turun Anwar’ yang berlangsung hari ini.
Beliau turut mendoakan agar semua peserta perhimpunan selamat pulang ke destinasi masing-masing sambil mengakui kehadiran mereka, sama ada untuk menyuarakan pandangan atau menyatakan solidariti adalah manifestasi amalan demokrasi yang sihat.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Bukan permusuhan, tetapi ruang suburkan pemikiran
Dalam kenyataan yang dimuat naik di Instagram beliau, Anwar menegaskan pendiriannya yang konsisten menjunjung kebebasan bersuara dan berpendapat dalam kerangka demokrasi.
Katanya, “Kritikan dan perbezaan pandangan tidak seharusnya dilihat dari lensa permusuhan, malah ia harus terus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat.”
Beliau turut mengingatkan bahawa kebebasan itu harus diamalkan dalam suasana aman, tertib dan penuh rasa cinta kepada tanah air.
PMQT sebagai saluran terus di Parlimen
Anwar mengajak rakyat untuk terus mengangkat suara secara berstruktur melalui saluran seperti Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen, yang membolehkan mana-mana Ahli Parlimen mengemukakan soalan dan kritikan secara langsung kepada beliau. Malah, beliau menggesa orang ramai mendesak wakil rakyat masing-masing agar lebih aktif dalam sidang Parlimen, khususnya dalam sesi PMQT.
Mengakhiri kenyataan, Perdana Menteri menyeru rakyat agar terus berdialog dan membina negara bukan sekadar di jalanan, tetapi turut meneroka dan menguasai bidang-bidang baharu demi kemajuan Malaysia secara kolektif.
Sumber: Instagram Anwar Ibrahim








